RAZLAN Razali Sah Tinggalkan RNF MotoGP, Tapi Pasukan Kekal Di Grid Hingga 2026!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/26/20231 min read

PASUKAN MotoGP yang memiliki kaitan dengan Malaysia, CryptoDATA RNF Racing mengesahkan yang Prinsipal pasukan itu, Datuk Razlan Razali tidak lagi terbabit dalam pengurusan pasukan berkenaan pada musim depan.

Perkembangan mengecewakan itu diumumkan oleh CryptoDATA RNF Racing dalam satu kenyataan rasmi yang sekaligus mengesahkan hantaran Razlan di media sosialnya sebelum ini membabitkan masa depannya.

Dalam kenyataan itu, CryptoDATA RNF Racing berkata keputusan Razlan untuk tidak lagi terbabit dalam pengurusan RNF bukan dilakukan semalam (ketika hantaran Razlan dibuat), tetapi diambil lebih daripada sebulan lalu.

Dan ia adalah disebabkan tekanan yang dibuat oleh pemegang saham susulan prestasi buruk dan keputusan membabitkan kewangan.

Dalam kenyataan itu juga, CryptoDATA RNF turut menegaskan yang pasukan itu akan terus bersaing di MotoGP hingga 2026.

Dan pasukan itu turut menjelaskan mereka mempunyai 'kontrak yang sah' dengan Aprilia dan 'tidak mempunyai sebarang hutang atau pertikaian dengan para pembekalnya.'

Menurut laporan media antarabangsa, pasukan CryptoDATA RNF MotoGP ketika ini dimiliki bersama Razlan (40 peratus) dan firma Romania, CryptoDATA (60 peratus).

Aprilia bukan saja membekalkan jentera kepada RNF namun turut mempunyai kontrak dengan kedua-dua pelumba pasukan itu, Miguel Oliveira dan Raul Fernandez selain beberapa staf.

Selaian itu, kenyataan itu turut menyebut yang RNF 'menerima tawaran untuk berada di grid' MotoGP.

Tetapi, ia ditolak lebih daripada dua minggu lalu dan sejak itu, tiada perbincangan berlaku.

Menurut laporan GPone.com, pelabur daripada Amerika Syarikat dikatakan akan mengambil alih pasukan itu menerusi syarikat hiburan dan gaya hidup, Trackhouse yang turut memiliki pasukan di NASCAR.

Sebagai info, pasukan RNF Racing MotoGP diasaskan daripada pasukan Petronas SRT yang ditubuhkan pada 2019 sebelum menarik diri pada tahun 2021 susulan penarikan tajaan daripada Petronas.