RAZLAN Teruja, Alu-alukan Sito Pons Dalam Keluarga RNF Aprilia MotoGP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/1/20231 min read

LEGENDA yang sebelum ini diuar-uarkan menyertai pasukan CryptoDATA RNF Aprilia MotoGP akhirnya diumumkan sebagai Sito Pons yang juga bekas pelumba dan pemilik pasukan Moto2.

Sito Pons yang akan melepaskan pasukannya dalam kelas Moto2 - Pons Racing - pada penghujung musim ini kepada pasukan MT Helmets - MSi dilantik sebagai Ketua Pegawai Penghasilan CryptoDATA RNF Aprilia MotoGP.

Sebagai pelumba, Pons pernah menjulang dua kejuaraan dunia dalam kelas 250 cc. Selain itu, beliau pernah mengendalikan pasukan yang beraksi di kelas perdana, Camel Honda. Kali terakhir Pons berada di kelas elit adalah pada 2005.

"Kami teruja dan mengalu-alukan kehadiran Sito Pons ke keluarga RNF," kata Prinsipal RNF, Razlan Razali.

"Pengalaman panjangnya dalam MotoGP, pandangan yang berharga dan dedikasi selari dengan cukup baik dengan visi kami mencipta salah satu pasukan terbaik di MotoGP.

"Bersama-sama dengan Sito, misi kami adalah untuk membina pasukan yang mampan dan berusaha untuk mendapatkan kecemerlangan bersama rakan-rakan kongsi kami."

Pons dalam pada itu turut mengakui teruja untuk kembali ke arena MotoGP.

"Dengan peranan baru ini, saya membawa lebih daripada 40 tahun pengalaman saya dalam MotoGP bersama pasukan, sedekad sebagai pelumba dan lebih tiga dekad sebagai Prinsipal pasukan kedua-duanya dalam MotoGP dan Moto2.

"Bekerjasama dengan Razalan dan pasukannya, kami menyasarkan untuk meningkatkan portfolio kami dengan memfokuskan kepada perkembangan nilai pasukan.

"Saya menggemari cabaran dan saya amat gembira untuk menjadi sebahagian daripada cabaran baru ini," katanya.

Kepada yang tak tahu, pasukan RNF adalah pasukan satelit Aprilia dan pasukan yang ditubuhkan selepas pasukan Petronas Yamaha SRT dibubarkan pada penghujung musim 2022.