RBMRC 2024: Hakim Danish Letak Sasaran Ulangi Podium Portimao Di Jerez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/25/20241 min read

PELUMBA negara, Hakim Danish Ramli melakar sejarah menaiki podium pada penampilan pertamanya di Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) tahun lalu di Portugal dan keputusan itu mahu diulang apabila kempen musim 2024 membuka tirainya di Jerez, Sepanyol, minggu ini.

Beraksi buat musim keduanya di RBMRC, pelumba kelahiran Terengganu itu baru saja mengharungi Pusingan 1 JrGP di Misano, Itali minggu lalu.

Tetapi ia tidak mahu dijadikan alasan malah meletakkan sasaran untuk meraih kedudukan podium pada penampilannya di Jerez.

"Harapan saya untuk pusingan di Jerez ini adalah bersaing dengan kelompok hadapan dan cuba untuk meraih podium," kata Hakim Danish.

"Saya tahu kejohanan ini adalah kejohanan yang kompetitif, ramai pelumba-pelumba yang laju.

"Saya akan cuba sehabis baik saya untuk habiskan perlumbaan dengan baik, dan dapatkan podium."

Tahun lalu, Hakim Danish memperoleh permulaan yang baik pada penampilan pertama RBMRC dengan menamatkan Perlumbaan 1 di tangga ke-5 dan ke-3 pada Perlumbaan 2.

Begitupun, keputusan baik itu tidak berjaya diulang pada keseluruhan musim apabila dia berdepan banyak insiden kemalangan yang menyaksikannya terpaksa menamatkan kempen di kedudukan ke-12 keseluruhan.