RBRC 2023: KECEWA di Red Bull Ring, Fokus Danial Syahmi, Hakim Danish Tak Goyah!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/21/20231 min read

KEPUTUSAN di Red Bull Ring, Austria hujung minggu lepas diakui mengecewakan buat dua wakil negara di kancah Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBRC) 2023 terutama buat Hakim Danish Ramli tetapi ia bukan sebab untuk mengalah.

Tiba di Austria dengan semangat yang tinggi, Hakim Danish tak berjaya mengumpul sebarang mata daripada dua perlumbaan yang ditawarkan termasuk terjatuh ketika Perlumbaan 2, semalam.

Mengulas aksinya pada perlumbaan ke-12 RBRC 2023 itu, pelumba muda kelahiran Terengganu itu berkata dia cuba sehabis baik untuk mengejar kelompok hadapan sebelum malang menimpa.

"Saya cuba memberikan sehabis baik untuk mengejar kelompok hadapan tetapi saya mengalami 'low side' di selekoh 6 berbaki 11 pusingan lagi.

"Saya masih perlu perbaiki cara tunggangan saya. Saya akan kekal fokus untuk pusingan terakhir RBRC di Misano," kata Hakim Danish dengan keputusan di Red Bull Ring menyaksikan kedudukannya di carta kejuaraan keseluruhan turut jatuh.

Sementara itu, keputusan lebih baik dicatat oleh Danial Syahmi Shahril apabila mengutip mata daripada kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan di Austria tetapi

Selepas menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-7, pelumba kelahiran Pulau Pinang itu melepasi garisan penamat Perlumbaan 2 di tangga ke-15, keputusan yang diakui sendiri mengecewakan.

"Saya agak kecewa kerana pada pusingan pertama saya ada buat kesilapan di selekoh 4 menyebabkan saya hampir masuk ke 'gravel'. Oleh sebab itu, banyak pelumba lain memintas saya.

"Saya kekal positif dan cuba kejar kelompok hadapan dan tamatkan perlumbaan di tempat yang ke-15. Saya hargai 1 mata yang saya dapat dan kekal fokus untuk perlumbaan seterusnya di Misano," katanya.

Sebagai info, perlumbaan pusingan terakhir RBRC 2023 dijadual berlangsung di Misano, Itali pada 13 dan 14 September depan.