RCB Buat Penampilan Ke-4 Di EICMA
Penyertaan RCB pada edisi ke-83 pameran dua roda terbesar dunia itu yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 8 November depan mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat berkenaan dalam membangunkan solusi berprestasi untuk motosikal global
TERKINI
10/15/20261 min read


JENAMA alat ganti dan aksesori motosikal berprestasi Malaysia, RCB, bakal kembali memeriahkan pentas Pameran Motosikal Antarabangsa (EICMA) di Milan, Itali buat tahun ke-4 berturut-turut pada tahun ini.
Menurut RCB, penyertaan pada edisi ke-83 pameran dua roda terbesar dunia itu yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 8 November depan itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat itu dalam membangunkan solusi berprestasi motosikal global.
Secara keseluruhan, RCB sudah berjaya melebarkan sayapnya dan menembusi pasaran di lebih 25 buah negara merentasi Asia serta Eropah, dengan kepakaran teknikalnya diyakini oleh pasukan lumba profesional dan penunggang motosikal di seluruh dunia.
Membawa pengalaman lebih tiga dekad, RCB bakal mempamerkan inovasi terbaharu di EICMA 2026 merangkumi sistem rim, suspensi, komponen brek dan casis yang menterjemahkan DNA sukan permotoran kepada prestasi unggul di litar mahupun jalan raya.
Pengurus Besar Jenama RCB, Marcus Leong, berkata kepulangan jenama itu ke pentas EICMA adalah satu pencapaian membanggakan yang jelas mencerminkan kemajuan syarikat dalam memperluaskan pengaruh di peringkat antarabangsa.
"EICMA menyediakan platform penting bagi memperkenalkan pembangunan terbaharu, mengukuhkan hubungan dengan rakan kongsi global, serta membuktikan bagaimana pengalaman sukan permotoran mempengaruhi penghasilan produk untuk komuniti penunggang secara meluas," katanya.
Antara inovasi yang dijangka bakal mencuri tumpuan termasuk Fork Hadapan Siri FD untuk Yamaha XMAX dan NVX, Cakera Terapung Aloi S2+ ICE, Pam Brek Utama Karbon berserta pratonton eksklusif produk masa hadapan yang belum dilancarkan.
Turut memeriahkan ruang pameran RCB adalah barisan produk berprestasi tinggi jenama UMA Racing yang memfokuskan kepada komponen enjin, sekali gus membuktikan keupayaan inovasi teknologi buatan Malaysia kepada pempamer antarabangsa.
Menambah debaran dan keterujaan pengunjung, RCB turut menjadualkan sesi kemunculan istimewa dan ramah mesra bersama penunggang lagak ngeri terkemuka antarabangsa, Rok Bagoros pada 5 November.

