RCB Dah 30 Tahun, Peluang Menang Yamaha XMax Edisi Khas RCB!

Selain Yamaha XMAX yang diubah suai khas dengan komponen RCB, para pelanggan bertuah juga berpeluang memenangi hadiah menarik lain seperti iPhone 16 Pro Max, iPad Air M3, serta 297 hadiah cenderamata edisi ulang tahun eksklusif merangkumi baju-T, tumbler, dan jaket fleece

PELANCARAN

8/26/20252 min read

SYARIKAT peneraju pengeluar komponen aftermarket motosikal terkemuka negara, RCB meraikan ulang tahun ke-30, hari ini, detik yang disifatkan sebagai bersejarah dan menandakan kejayaan selama tiga dekad pencapaian dan inovasi meraka dalam industri motosikal.

Dan sempena meraikan detik bersejarah itu, RCB melancarkan kempen cabutan bertuah dengan tawaran hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM 200,000, termasuk sebuah Yamaha XMAX edisi khas RCB sebagai hadiah utama.

Selain Yamaha XMAX yang diubah suai khas dengan komponen RCB, para pelanggan bertuah juga berpeluang memenangi hadiah menarik lain seperti iPhone 16 Pro Max, iPad Air M3, serta 297 hadiah cenderamata edisi ulang tahun eksklusif merangkumi baju-T, tumbler, dan jaket fleece.

Menurut RCB, kempen mega ini dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada komuniti permotoran yang sentiasa menyokong jenama itu sepanjang tiga dekad penubuhannya.

Berbalik kepada cabutan bertuah, untuk berpeluang meraih hadiah berkenaan, peserta perlu mendapatkan koleksi Edisi Terhad Ulang Tahun Ke-30 RCB yang menampilkan barisan komponen berprestasi tinggi yang direka khas untuk model-model popular seperti Yamaha NMAX, NVX, LC135, Y15ZR dan Honda Vario 150.

Apa yang menarik, setiap produk dalam koleksi ini didatangkan dengan skema warna ikonik hitam dan merah, digabungkan dengan komponen bersalut titanium serta logo ulang tahun ke-30 yang diukir menggunakan teknologi laser.

Tiba dalam kotak edisi eksklusif, setiap pembelian turut disertakan dengan barangan kenangan seperti kad logam bernombor siri dan rantai kunci rekaan khas, menjadikannya item wajib dimiliki oleh peminat tegar dan pengumpul.

Antara tarikan utama koleksi ini termasuklah komponen prestasi premium seperti Flow-Pro Series, S-3 Line, kaliper brek S26 dan R1, serta pam brek utama S1-FL.

Selain itu, RCB turut memperkenalkan Topi Keledar Edisi Terhad RCB x ARC hasil rekaan eksklusif yang menggabungkan gaya dan keselamatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MKA, Bruce Lee, sambutan ulang tahun ini adalah manifestasi penghargaan kepada sokongan tidak berbelah bahagi RCB kepada penunggang di seluruh dunia.

“Ulang tahun ke-30 ini bukan sekadar sambutan biasa, tetapi tanda penghargaan atas sokongan, semangat dan kepercayaan daripada para penunggang di seluruh dunia.

"Perjalanan kami masih panjang, dan kami komited untuk menjadikan 30 tahun akan datang lebih berjaya," katanya yang menyifatkan kejayaan itu akan menjadi pembakar semangat untuk RCB terus melangkah ke hadapan dengan perancangan pembukaan Pusat Inovasi di Malaysia dan pejabat baharu di India pada tahun 2025.

Majlis sambutan ini turut diserikan dengan kehadiran personaliti sukan permotoran terkemuka seperti Pengarah Two Wheels Motor Racing (TWMR), Ron Hogg; Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin; pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayuddin; serta penunggang aksi bebas antarabangsa dari Slovenia, Rok Bagoros.