RCB 'Handle Grip' Nagamaki Dapat Pengiktirafan MBoR!

Direka dan dibangunkan sepenuhnya di Malaysia oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) MKA Group, pembangunan Handle Grip RCB Nagamaki bermula pada Disember 2020 dengan penekanan khusus terhadap aspek ergonomik, kawalan serta prestasi pelumba dalam keadaan perlumbaan yang ekstrem

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/14/20261 min read

JENAMA pengeluar komponen dan aksesori motosikal terkemuka negara, RCB mencipta sejarah apabila produk buatannya, 'Handle Grip' Nagamaki mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBoR) sebagai 'handle grip' Rekaan Malaysia Pertama Digunakan dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Direka dan dibangunkan sepenuhnya di Malaysia oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) MKA Group, pembangunan Handle Grip RCB Nagamaki bermula pada Disember 2020 dengan penekanan khusus terhadap aspek ergonomik, kawalan serta prestasi pelumba dalam keadaan perlumbaan yang ekstrem.

Dari sudut reka bentuk, Handle Grip RCB Nagamaki diinspirasikan daripada tsuka (pemegang pedang katana) dan teknik lilitan tsukamaki tradisional Jepun.

Ia menampilkan corak struktur anyaman yang unik, direka untuk meningkatkan keselesaan, kestabilan dan kawalan ketika menunggang.

Menurut RCB, reka bentuk yang boleh membantu mengurangkan getaran, meminimumkan keletihan dan kebas pada tangan, meningkatkan maklum balas sentuhan serta memberikan kestabilan cengkaman yang lebih baik ketika tunggangan berkelajuan tinggi.

Digunakan oleh pelumba-pelumba yang bersaing dalam kategori MotoGP, Moto2 dan Moto3, ia sekali gus membuktikan prestasi serta kebolehpercayaan Handle Grip RCB Nagamaki di pentas tertinggi sukan permotoran antarabangsa.

Dan keupayaannya turut dibuktikan melalui penggunaannya dalam perlumbaan MotoGP, sekali gus mengesahkan keberkesanan dan ketahanannya dalam persekitaran perlumbaan motosikal paling kompetitif di dunia.

“RCB amat berbesar hati menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records ini. Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan syarikat kami dan jenama RCB, malah turut menjadi kebanggaan kepada industri kejuruteraan dan pembuatan Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MKA Group, Bruce Lee.

“Ia membuktikan produk yang direka dan dibangunkan oleh rakyat Malaysia mampu bersaing di pentas MotoGP dunia bersama produk terbaik di peringkat antarabangsa. Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap kualiti, prestasi dan inovasi."

Pengiktirafan daripada MBoR menyerlahkan keupayaan RCB dalam aspek kejuruteraan, inovasi serta sumbangannya kepada industri sukan permotoran global dan pada masa yang sama, ia turut memperkukuhkan reputasi Malaysia yang semakin berkembang dalam bidang teknologi automotif berprestasi tinggi dan pembuatan maju.

Selain itu, pencapaian ini menjadi bukti inovasi serta kejuruteraan Malaysia mempunyai potensi besar untuk berjaya dan mendapat pengiktirafan di peringkat dunia.