RCB Komited Bantu Realisasi Penampilan 'Wildcard' Hakim Danish Di GP Malaysia!

Pelumba muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli adalah salah seorang daripada dua pelumba negara yang berada dalam program RCB Athletes

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/31/20251 min read

RCB
RCB

SYARIKAT pengeluar komponen motosikal terkemuka, RCB tampil menyuarakan kesediaan untuk membantu merealisasikan kelibat pelumba muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli beraksi di Grand Prix (GP) Malaysia 2025 secara wildcard.

Sekalipun situasi semasa tampak positif termasuk perbincangan membabitkan pengurusan Hakim Danish, ZK Racing dan Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC), tiada pengesahan dapat dibuat setakat ini.

Ketika ditemui pada majlis RCB Athletes bersama media, hari ini, Pengurus Besar RCB, Marcus Leong mendedahkan perbincangan bersama Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin sudah pun berjalan.

"Memang perbincangan sudah berlangsung tetapi saya tak dapat memberitahu apa setakat ini tetapi apa yang boleh saya katakan kami di RCB memang sedang melihat ke arah itu.

"Jika boleh, kita memang mahu berikan kerjasama penuh dengan mereka (SIC Racing), tetapi, sudah tentu saya masih perlu fikirkan mengenai pengurusa bajet dan sebagainya.

“Sejauh mana kita akan pergi dengan rundingan ini, saya masih tak dapat putuskan lagi, tetapi, apa yang boleh saya janji adalah kita akan menyumbang dan ia akan diputuskan dalam masa terdekat,” katanya.

Marcus berkata, sudah menjadi tanggungjawab kepada RCB untuk menyokong program pembangunan bakat muda Malaysia lebih-lebih lagi Hakim Danish adalah pelumba turut berada di bawah programnya RCB Athletes.

Selain Hakim Danish, turut berada dalam program berkenaan adalah seorang lagi pelumba muda berbakat negara, Qabil Irfan Azlan.

"RCB amat mengambil berat dan komited dalam usaha jangka panjang untuk menyokong dan membangunkan sukan permotoran di Malaysia. Kami berbangga dapat menyokong bakat muda seperti Hakim dan Qabil dalam mengejar impian mereka di pentas antarabangsa," kata Marcus.

Hakim Danish ketika ini sedang mendahului kedudukan keseluruhan Red Bull MotoGP Rookies Cup dengan 154 mata dan berada di kedudukan ke-7 dalam Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP dengan 51 mata.

Sebagai info, pelaburan RCB dalam pembangunan atlet adalah sebahagian daripada komitmen menyeluruh syarikat itu terhadap sukan permotoran di semua peringkat dan mereka turut memainkan peranan aktif dalam platform berprestij termasuk MotoGP, Asia Road Racing Championship (ARRC), PETRONAS Malaysian Cub Prix dan MiniGP.

Pada tahun ini, RCB turut menjadi penaja utama bagi Kejuaraan MiniMoto RCB MiniMoto yang juga sebuah program pembangunan penting untuk pelumba muda bersama ZK Racing dalam usaha mengenal pasti serta membimbing bakat baharu negara.