RCB Komited Perkukuh Kerjasama Dengan Cub Prix

Kerjasama RCB dengan Cub Prix bukan sekadar penajaan, tetapi satu komitmen bersama untuk mengangkat sukan permotoran Malaysia

TERKINI

11/24/20251 min read

RACING Boy (RCB), syarikat pengeluar komponen 'aftermarket' motosikal terkemuka negara percaya Kejuaraan Cub Prix Malaysia kekal sebagai antara platform paling berstruktur dan profesional dalam melahirkan pelumba terbaik Malaysia.

Kempen Cub Prix bagi musim ini menutup tirainya di Iskandar Puteri, Johor, minggu lalu dengan penganjuran sekali lagi membuktikan keunggulannya sebagai nadi sukan permotoran dua roda negara.

Dan sebagai antara penaja, RCB bukan sahaja meraikan kejayaan penganjuran tetapi turut menegaskan sokongan jangka panjang terhadap pembangunan bakat muda tanah air yang dilaksanakan oleh Cub Prix.

Pengurus Besar Jenama RCB, Marcus Leong menjelaskan kerjasama dengan Cub Prix bukan sekadar penajaan tetapi satu komitmen bersama untuk mengangkat sukan permotoran Malaysia.

"Cuba Prix sudah banyak membantu membentuk generasi pelumba masa depan. Kami berbangga produk RCB terus diuji, dipercayai dan dibuktikan oleh pelumba sendiri. Maklum balas mereka membantu kami menambah baik teknologi, meningkatkan prestasi dan mendorong inovasi baharu,” katanya.

"Kehadiran komponen RCB di litar juga mencerminkan keyakinan pelumba terhadap jenama itu, selari dengan misi syarikat untuk menawarkan prestasi, ketahanan dan keselamatan terbaik."

Sejak bertahun-tahun, Cub Prix menjadi platform melahirkan pelumba berbakat negara dengan menganjurkan pelbagai kategori perlumbaan dan kini muncul sebagai penganjur sukan permotoran dua roda terbesar di negara ini.

Selain sokongan di litar menerusi penajaan komponen perlumbaan, RCB turut mencuri perhatian dengan kehadiran'RCB Truck' yang menjadi pusat interaktif buat peminat.

Di sini, pengunjung berpeluang mendapatkan produk serta barangan rasmi RCB, selain mendekati pakar teknikal untuk memahami teknologi terkini.

Secara keseluruhan, RCB menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Cub Prix serta menyokong pembangunan pelumba muda Malaysia dan optimis bahawa gabungan inovasi, sokongan teknikal dan platform akar umbi akan terus memacu masa depan sukan permotoran negara.