RCB Komited Sokong Karier Hakim Danish!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/19/20252 min read


JENAMA pengeluar komponen 'after market' motosikal terkemuka negara, RCB menyuarakan komitmennya dalam menyokong pembangunan karier pelumba muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli.
RCB hari ini menerima kunjungan pelumba berusia 17 tahun itu yang pulang ke tanah air, semalam selepas lebih dua bulan berada di Eropah sebagai tanda penghargaan atas sokongan penajaan daripada RCB.
Pelumba kelahiran Terengganu itu memperoleh kempen yang mengujakan dalam dua kejuaraan yang disertainya di Eropah - Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) dan Kejuaraan Dunia FIM Junior GP (GP) 2025.
Selepas dua pusingan RBMRC berlangsung, pelumba negara itu ketiga ini gah menghuni carta teratas kedudukan keseluruhan kejuaraan itu selepas mengumpul empat kedudukan tempat kedua. Di pentas JrGP, Hakim Danish menamatkan pusingan pertama sebagai naib juara.
Sebagai penaja peribadi kepada Danish, RCB amat berbangga dengan pencapaian dan dedikasi tinggi yang ditunjukkan oleh pelumba kelahiran Terengganu itu pada musim ini.
Dan kehadiran Hakim Danish ke ibu pejabat RCB mencerminkan hubungan profesional yang cukup baik serta nilai kerjasama diantara pelumba dan penaja.
"Kami di RCB amat menghargai kesungguhan dan semangat juang yang dibawa oleh Hakim Danish. Beliau bukan sahaja menjadi inspirasi kepada pelumba muda lain, tetapi juga memberi komitmen yang baik dalam membawa jenama kami ke pentas antarabangsa,” kata Pengurus Besar Kumpulan Pemasaran RCB, Marcus Leong.
"Kami akan terus memberikan sokongan penuh dari segi teknikal, logistik dan promosi demi membantu beliau mencapai kejayaan dimasa hadapan."
RCB dalam pada itu melihat inisiatif tajaan itu sebagai satu platform yang cukup berharga untuk mendekati dan mengenali para pelumba muda negara.
Syarikat itu juga percaya bahawa mereka mampu menjadi ikon dalam kalangan rakan sebaya, dengan menjadi contoh teladan dalam mengamalkan budaya positif, mempelajari teknik penunggangan yang selamat, serta bergerak ke arah haluan yang profesional dan bertanggungjawab.
Kepulangan Hakim Danish ke tanah air juga dilihat sebagai satu sokongan moral yang besar kepada perlumbaan FIM MiniGP dan RCB MiniMoto, yang bakal berlangsung pada 24-25 Mei ini di Litar Horizon Beranang.
Kehadirannya dijangka memberi motivasi kepada pelumba muda yang bakal beraksi sekali gus menunjukkan kesinambungan sokongan RCB terhadap pembangunan bakat sejak dari peringkat akar umbi.
Melalui pendekatan yang sistematik dan bimbingan berterusan, program seperti ini juga dilihat mempunyai potensi besar sebagai platform pembangunan bakat, yang akhirnya dapat melahirkan pelumba-pelumba yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi termasuk kejohanan dunia seperti MotoGP.
