RCB MiniMoto 2025: Fayyadh Anaqi Gah Di Puncak Selesai Aksi Di Tangkak

Kejuaraan RCB MiniMoto 2025 bukan hanya memberi peluang kepada pelumba muda untuk berlumba secara kompetitif, malah menjadi medan pembelajaran mengenai aspek teknikal, disiplin perlumbaan dan semangat kesukanan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/27/20251 min read

Kejuaraan RCB MiniMoto
Kejuaraan RCB MiniMoto

PUSINGAN ketiga Kejuaraan RCB MiniMoto 2025 melabuhkan tirai dengan jayanya di Litar Tangkak, Johor hujung minggu lalu yang menyaksikan persaingan menarik daripada 16 pelumba cilik seluruh negara.

Seperti pusingan terdahulu, dua perlumbaan berlangsung yang masing-masing menobatkan juara berbeza. Dalam Perlumbaan 1, pelumba Selangor, Faith Mikael merangkul gelaran juara dengan pelumba Negeri Sembilan, Yusuf Iskandar di tempat kedua.

Pelumba tuan rumah, Wan Haqim Al Mahdi yang memulakan perlumbaan di petak utama melengkapkan kedudukan podium.

Perlumbaan 2 pula menyaksikan dominasi seorang lagi pelumba kelahiran Selangor, Fayyadh Anaqi yang meraih kemenangan sulungnya di pusingan ini.

Wan Haqim memperbaiki kedudukannya dengan menamatkan saingan di tempat kedua dengan tempat ketiga menjadi milik Yusuf Iskandar.

Selepas tiga pusingan, Fayyadh Anaqi yang sebelum ini turut menunjukkan prestasi cemerlang di pusingan Horizon, Beranang, kini gah di tangga teratas carta keseluruhan dengan kutipan 108 mata.

Wan Hakim pula menduduki tempat kedua keseluruhan dengan 62 mata, diikuti Raqib Rozman dari Kuala Lumpur yang mengumpul 58 mata.

Sebagai rekod, dua pusingan pertama kejuaraan ini berlangsung di Litar Horizon, Beranang, Selangor. Kejuaraan ini menampilkan format jentera satu pengeluar menggunakan jentera 910 Carena RS Air 4.2 Hp.

Menurut RCB, penganjuran Kejuaraan RCB MiniMoto 2025 bukan sekadar memberi peluang kepada pelumba muda untuk berlumba secara kompetitif, malah menjadi medan pembelajaran mengenai aspek teknikal, disiplin perlumbaan dan semangat kesukanan.

Sebagai info, Kejuaraan RCB MiniMoto 2025 turut dianjurkan bertujuan menjadi platform pembangunan pelumba muda selepas kemerosotan penyertaan dalam kejohanan FIM MiniGP Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dengan saingan semakin sengit dan bakat-bakat muda yang kian menyerlah, kejuaraan ini dijangka terus menjadi antara platform utama pembangunan pelumba cilik di Malaysia.