RCB Teroka Pasaran Amerika Selatan!

TERKINI

5/27/20251 min read

RACING Boy atau RCB, jenama komponen dan aksesori motosikal 'artermarket' terkemuka negara terus mengorak langkah apabila menyertai antara pameran dua roda terbesar di rantau Amerika Selatan, Fair 2 Wheels 2025 di Colombia, baru-baru ini.

Apa yang menarik, ia adalah debut RCB yang sinonim dengan inovasi dan prestasi tinggi dalam industri motosikal itu di benua berkenaan.

Seperti diketahui, RCB ketika ini sudah pun berkembang ke peringkat global malah syarikat itu menjadi rakan teknikal kepada beberapa pasukan MotoGP seperti Aprilia, HRC, KTM, GasGas, Yamaha serta pasukan satelit seperti Gresini Racing, Trackhouse Racing, VR46 dan Pramac.

RCB berkata, penampilan syarikat itu di pameran berkenaan adalah sebagai langkah strategik selain untuk berhubung secara langsung dengan komuniti penunggang motosikal di rantau itu.

Syarikat itu berkata, selama bertahun-tahun, pengguna di rantau berkenaan mendapatkan produk RCB melalui pengedar Asia sekali gus membuktikan luas capaian organik jenama itu.

Pada acara itu, RCB mempamerkan pelbagai komponen motosikal berprestasi tinggi, termasuk sistem brek, rim, suspensi dan aksesori perlumbaan.

Pengarah Pemasaran Kumpulan RCB, Marcus Leong berkata syarikat itu komited untuk mengukuhkan kehadirannya di rantau itu yang sekali gus mememudahkan akses pelanggannya kepada produk tulen RCB, lebih pantas, mudah dan boleh dipercayai.

Menurutnya, kehadiran RCB di acara ini bukan sahaja memperkenalkan produk terbaik jenama itu, malah membuka ruang untuk kerjasama lebih erat serta hubungan yang lebih kukuh dengan komuniti motosikal serta meneroka peluang kerjasama dengan pemilik kedai motosikal tempatan.

Dan katanya, sambutan yang diterima adalah luar biasa.

Sebagai antara acara membabitkan motosikal terbesar di Amerika Selatan, Fair 2 Wheels 2025 turut menerima kehadiran daripada negara serantau Amerika Selatan.

Seperti diketahui, RCB sebelum ini sudah pun melebarkan sayapnya di Eropah malah mengambil bahagian dalam pameran motosikal global seperti EICMA di Milan, Itali.