RCB Terus Komited Sokong Perjalanan Karier Hakim Danish

Seperti diketahui, Hakim Danish menjadi antara pelumba yang berada di bawah program Atlet RCB sejak beberapa tahun lalu dan kerjasama itu akan diteruskan pada musim ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/11/20261 min read

JENAMA barangan komponen selepas jualan motosikal terkemuka, RCB menegaskan komitmen untuk terus menyokong perjalanan karier pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli.

Seperti diketahui, Hakim Danish menjadi antara pelumba yang berada di bawah program Atlet RCB sejak beberapa tahun lalu dan kerjasama itu akan diteruskan pada musim ini.

Bukan sekadar kata-kata kosong, Pengurus Jenama RCB, Amir Azizi Rahman, berkata sokongan itu bukan sahaja membabitkan bantuan kewangan, malah turut merangkumi penyediaan produknya untuk pelumba berusia 18 tahun itu beraksi di pentas antarabangsa.

"RCB akan terus membantu Hakim Danish supaya dia boleh fokus kepada perlumbaan. Seperti tahun-tahun lalu, sokongan bukan hanya dari segi kewangan tetapi juga barangan untuk kegunaannya.

"Malah kami turut menaja pasukannya AEON Credit MT Helmets MSi menerusi penggunaan komponen perlumbaan RCB. Sebagai jenama dari Malaysia, kami memang amat berbangga ada pelumba Malaysia menggunakan produk berkualiti daripada RCB."

Amir ketika ditemui selepas majlis iftar MKA Group, semalam begitupun berkata dia tidak dapat mendedahkan jumlah tajaan diberikan kepada Hakim Danish, namun mengakui nilainya lebih tinggi berbanding musim lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Amir menjelaskan RCB turut mempertimbangkan pemberian bonus sekiranya Hakim Danish berjaya mencipta kejutan termasuk memenangi perlumbaan.

Selain Hakim Danish, RCB juga menaja beberapa pelumba muda negara lain termasuk Qabil Irfan Azlan, selain tiga lagi pelumba tempatan yang bersaing di pelbagai kejuaraan seperti Kejuaraan Motosikal Dunia, Kejuaraan Asia serta Kejuaraan Cub Prix Malaysia.