RCB, UMA Racing Umum Senarai RCB Athlete, UMA Ambassador Musim 2026

Pelumba yang berada dalam program RCB Athlete 2026 adalah Hafizh Syahrin Abdullah, Hakim Danish Ramli, David Alonso Gomez, Kasma Daniel Kasmayudin dan Qabil Irfan Azlan manakala UMA Ambassador 2026 adalah Kasma Daniel Kasmayudin dan Nazirul Izzat Bahauddin

TERKINI

6/4/20261 min read

JENAMA pengeluar komponen dan aksesori permotoran terkemuka, RCB dan UMA Racing terus mengukuhkan komitmen terhadap perkembangan pelumba berbakat tempatan dan luar negara mengumumkan senarai barisan pelumba program RCB Athlete dan UMA Ambassador bagi musim 2026.

Senarai tajaan itu menampilkan gabungan yang membabitkan penunggang antarabangsa berbakat besar dan berkualiti, juara serantau serta bakat muda sensasi yang sedang rancak mencipta nama di pentas global.

Sebagai jenama yang dibina berteraskan inovasi dan prestasi, sokongan yang diberikan RCB dan UMA Racing bukan sekadar membabitkan bantuan kewangan, malah merangkumi kepakaran teknikal serta bekalan komponen berprestasi tinggi untuk kegunaan latihan dan perlumbaan sebenar.

Pelumba yang berada dalam program RCB Athlete 2026 adalah:

  • Hafizh Syahrin Abdullah (JDT Racing Team) ARRC

  • Hakim Danish Ramli (AEON Credit-MT Helmets-MSi) Moto3

  • David Alonso Gomez (CFMoto Aspar Racing Team) Moto2

  • Qabil Irfan Azlan (SIC - GRYD MLAV Racing) Moto4 Asia Cup, Moto4 European Cup

Pelumba yang berada dalam program UMA Ambassador 2026 adalah:

  • Kasma Daniel Kasmayudin (Hong Leong Yamaha Racing, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), ARRC, Cub Prix

  • Nazirul Izzat Muhammad Bahauddin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), ARRC, Cub Prix

Pengurus Besar Jenama RCB dan UMA Racing, Marcus Leong berkata dengan menyokong pelumba melalui produk yang boleh dipercayai serta berprestasi tinggi, ia membolehkan pelumba memberi tumpuan kepada persiapan, kecergasan fizikal dan prestasi sambil mengekalkan tahap keselamatan serta kebolehpercayaan yang tertinggi.

"Komitmen jangka panjang ini mencerminkan visi jenama untuk menyumbang kepada pertumbuhan sukan permotoran dengan memupuk bakat di setiap peringkat kerjaya serta menyokong pelumba yang berperanan sebagai duta dan contoh teladan dalam komuniti perlumbaan.

“Di RCB dan UMA Racing, kami percaya sukan permotoran bukan sekadar tentang memenangi perlumbaan. Ia adalah tentang semangat, ketabahan, perwatakan dan memberi inspirasi kepada generasi masa depan.”

Selain pembangunan pelumba, RCB dan UMA Racing juga secara aktif menyokong pasukan perlumbaan yang bersaing dalam MotoGP, Moto2, Moto3, WorldSBK, Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), serta Kejuaraan Cub Prix Malaysia.