REAKSI Jordi Gatell Alih Minuman Keras Dari Hakim Danish Raih Pujian

Sedar Hakim Danish akan melangkah ke pentas podium untuk diraikan sebagai juara, Gatell dilihat bertindak proaktif mengalihkan botol minuman keras yang diletakkan di bersebelahan podium Hakim Danish sebelum majlis penyampaian trofi bermula

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/21/20261 min read

TINDAKAN spontan Pengurus pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, Jordi Gatell terhadap sensitiviti agama pelumba negara, Hakim Danish Ramli di podium Grand Prix (GP) Republik Czech meraih pujian menggunung peminat sukan permotoran khususnya masyarakat Muslim seluruh dunia.

Menyedari pelumba muda sensasinya itu akan melangkah ke pentas podium untuk diraikan sebagai juara, Gatell dilihat bertindak proaktif mengalihkan botol minuman keras yang diletakkan di bersebelahan podium Hakim Danish sebelum majlis penyampaian trofi bermula.

Lebih mencuri tumpuan, apabila sesi tradisi semburan 'champagne' bermula beberapa minit kemudian, Hakim Danish terus beredar meninggalkan podium berkenaan dengan Gatell turut dilihat menemani pelumba negara itu.

Malah, dua lagi pelumba yang berada di atas podium seakan sudah maklum mengenai situasi terbabit dan menghormati pegangan pelumba Malaysia itu dengan tidak menghalakan semburan ke arahnya.

Menariknya, Gatell tidak perlu diminta atau diingatkan secara terbuka mengenai perkara itu di atas pentas, dipercayai hasil komunikasi dan pemakluman awal oleh pihak pengurusan Hakim Danish sebelum perlumbaan.

Tindakan pengurus kelahiran Sepanyol itu disifatkan sangat profesional kerana beliau sanggup mengetepikan aspek komersial dan keperluan penaja semata-mata mahu memastikan pelumbanya dapat meraikan kejayaan dalam keadaan selesa serta mematuhi syariat agamanya.

Umum mengetahui, penggunaan muniuman beralkohol champagne di podium adalah sebahagian daripada elemen promosi dan pemasaran tradisi sukan permotoran dunia.

Detik penuh makna ini sekali gus menambahkan lagi kemanisan kejayaan Hakim Danish yang cemerlang menamatkan kemarau 10 tahun Malaysia untuk kembali menyaksikan Jalur Gemilang berkibar di pentas podium kejuaraan itu, selepas kali terakhir dilakar oleh Khairul Idham Pawi pada musim 2016.

Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama Hakim Danish mengambil pendekatan sedemikian di atas podium, memandangkan dia pernah melakukan tindakan sama ketika memenangi perlumbaan di GP Mugello, Itali sebelum ini.

Situasi menghormati pelumba Muslim di atas podium sukan permotoran berprestij antarabangsa sebenarnya bukanlah sesuatu yang pelik.

Juara Dunia tiga kali WorldSBK dari Turki, Toprak Razgatlioglu, juga cukup terkenal dengan pendiriannya meninggalkan podium setiap kali sesi semburan minuman beralkohol itu bermula.

Hal ini membuktikan bahawa toleransi dan penghormatan terhadap agama pelumba boleh dilaksanakan tanpa sebarang masalah, biarpun berdepan dengan tuntutan komersial penganjur perlumbaan.