RED Bull Kini Bersama GasGas Tech3 MotoGP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/30/20241 min read

PASUKAN satelit KTM di MotoGP, GasGas Tech3 menayangkan 'Liveri' bagi kempen 2024 yang turut menyaksikan 'kepulangan semula' syarikat minuman tenaga, Red Bull ke pasukan itu.

Dengan kehadiran Red Bull sebagai penaja utama, pasukan itu kini dikenali sebagai Red Bull GasGas Tech3 MotoGP.

Pada musim ini, Red Bull GasGas Tech3 dipacu dua bekas juara dunia Moto2, Pedro Acosta (2023) dan Augusto Fernandez (2022).

Red Bull sebelum ini menarik diri daripada menjadi antara penaja pasukan Repsol Honda susulan penarikan diri bintangnya Marc Marquez.

Kali terakhir Red Bull tiba di MotoGP sebagai penaja utama adalah pada musim 2020 bersama KTM.

Tech3 sebelum ini dikenali sebagai pasukan Tech3 KTM dan tiba ke grid sebagai pasukan satelit KTM sebelum dijenama sebagai Tech GasGas Factory Racing musim lalu.

Berdepan kecederaan teruk ketika aksi pembuka musim di Portugal, Pol Espargaro terpaksa melepaskan posisinya kepada Acosta dengan Fernandez mengekalkan tempatnya selepas mengharungi kempen yang baik musim lalu.

Keputusan itu turut menyaksikan Espargaro diturunkan pangkat sebagai pelumba ujian dan akan berlumba dengan tiket 'wildcard' di beberapa pusingan.

"Salah satu perkara yang mengujakan berlaku pada musim sejuk ini adalah kepulangan semula Red Bull bersama Tech3, dan kami amat gembira untuk bersama mereka sekali lagi kepada jentera MotoGP kami," kata pemilik Tech3, Herve Poncharal.

"Musim ini akan menjadi lebih mengujakan berbanding sebelum ini, dengan grid yang amat kompetitif, pelumba dan pakej teknikal yang amat hampir satu sama lain, jadi saya memang percaya yang kami bersedia untuk mempamerkan persembahan menakjubkan."

Sebagai 'rookie', Acosta akan beraksi di Sepang Shakedown yang dijadual berlangsung pada 1 hingga 3 Februari ini sebelum sesi ujian rasmi pada 6 hingga 8 Februari juga di Sepang.