RED Bull KTM MotoGP Dedah 'Liveri' 2024, Perubahan Minimal!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/12/20241 min read
RED Bull KTM MotoGP menjadi pasukan terbaharu menayangkan 'Liveri' baharu bagi kempen 2024 dan menariknya, perubahan yang dibuat sememangnya cukup minimum berbanding beberapa musim sebelumnya.
Seperti tahun lalu, pasukan yang menggunakan jentera 'Factory' RC1624 itu dipacu dua pelumba berpengalaman, Brad Binder dan Jack Miller.
Dengan kemerosotan prestasi pengeluar dari Jepun, KTM pada tahun ini sekali lagi diletakkan sebagai pencabar utama kepada Ducati.
Binder pada tahun lalu menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan dan terbaik selain daripada trio Ducati diketuai Francesco Bagnaia, Jorge Martin dan Marco Bezzecchi.
Pelumba veteran Australia, Miller yang menyertai pasukan itu tahun lalu menamaykan perlumbaan di kedudukan ke-11.
Dalam kategori pengeluar, KTM juga menamatkan kempen sebagai naib juara di belakang Ducati.
Tetapi sedikit mengecewakan, pasukan itu tidak berjaya meraih sebarang kemenangan dalam perlumbaan utama namun merangkul dua kemenangan dalam perlumbaan Sprint.
Pengarah KTM Motorsports, Pit Beirer memetik laporan Crash.net berkata pakej yang dimiliki KTM ketika ini amat lengkap dan pasukan itu mempunyai individu yang tepat, berada di posisi yang betul dan barisan pelumba yang menggembirakannya.
Ketika ujian rasmi pra-musim MotoGP 2024 di Sepang, minggu lalu, Binder menamatkan ujian sebagai pelumba ketujuh terpantas, +0.625s di belakang Bagnaia dan Miller di tangga ke-14 terpantas.
Musim ini, KTM turut memperoleh khidmat 'budak ajaib' Pedro Acosta selain juara dunia Moto2 2022, Augusto Fernandez selain dua pelumba ujian berkualiti, Dani Pedrosa dan Pol Espargaro untuk memacu pasukan itu.
Ujian rasmi pra-musim kedua dan terakhir MotoGP dijadual pada 19 dan 20 Februari ini di Qatar.