RED Bull MotoGP Rookies Cup 2023: Hakim Danish Tekad Jadikan Austria Medan Baiki Kesilapan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/16/20231 min read

ENGGAN menuding jari kepada sesiapa atau mencari alasan, pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli tampak seperti menyalahkan dirinya atas prestasi terumbang ambing yang diharungi dalam kempen Red Bull MotoGP Rookies Cup 2023.

Selepas tampil dengan prestasi baik di awal musim, termasuk mendaki podium pada aksi pembukaan, nasib tampak seperti tidak menyebelahi pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu pada baki lapan perlumbaan seterusnya.

Daripada 8 perlumbaan yang berlangsung selepas Portugal, Hakim Danish tak mengutip mata dalam tiga perlumbaan susulan kemalangan dan terbaharu adalah di Assen, Belanda pada Jun lalu.

Ketika ini, prospek pelumba MotoGP negara itu menghuni tangga ke-9 keseluruhan carta pelumba selepas mengumpul 67 mata.

"Dua lagi pusingan berbaki (Red Bull Rookies Cup), sasaran saya adalah untuk bersaing bersama kelompok depan dan menaiki podium," kata Hakim Danish yang 'terbang' ke Austria dari Malaysia, semalam bagi mengharungi Pusingan 6 perlumbaan berkenaan.

"Sebelum ini, memang saya bersaing di kelompok depan tetapi saya ada melakukan kesilapan. Jadi, saya akan cuba memperbaiki kesilapan saya untuk perlumbaan selepas ini."

Ketika diminta mengulas lebih lanjut mengenai faktor dia sering mengalami kemalangan, pelumba berusia 16 tahun itu menegaskan ia adalah berpunca daripada kesilapan dirinya dan bukannya faktor lain seperti litar atau jentera.

Mengenai tempoh cuti panjang di Malaysia selepas aksi di Assen sebelum pulang ke Eropah semalam, Hakim Danish berkata ia tidak mengganggu fokusnya.

"Peluang untuk kembali ke Malaysia adalah peluang untuk saya 'reset' semula diri saya dan kembali dengan lebih kuat. Di Malaysia, saya masih berlatih dengan gigih bersama dengan pasukan ZK Racing bersama pelumba-pelumba Malaysia yang lain.

"Saya memperoleh latihan yang bagus di sini dan yakin boleh buat sehabis baik. Untuk perlumbaan di Austria, saya akan berusaha untuk tidak melakukan kesilapan terutama terjatuh, bersaing untuk kelompok depan dan menaiki podium," katanya

Mengulas peluangnya untuk menghuni tangga ke-5 keseluruhan terbaik di Red Bull MotoGP Rookies Cup 2023, Hakim Danish yakin yang sasaran itu masih berupaya untuk direalisasikan.