REKAAN Awal Kapcai 150 cc Klac Auto MForce Didedahkan

Begitupun, bentuk motosikal yang didedahkan itu masih di peringkat model tanah liat dan dikongsikan pengurusan tertinggi MForce Bike yang membuat kunjungan ke China

TERKINI

8/9/20261 min read

TAK mahu menunggu lama dan sedar akan keterujaan pasaran, MForce Bike mencipta kejutan apabila mendedahkan rekaan awal motosikal kapcai bersesaran 150 cc dengan klac automatik yang sedang dibangunkan syarikat itu.

Begitupun, bentuk motosikal yang didedahkan itu masih di peringkat model tanah liat dan dikongsikan pengurusan tertinggi MForce Bike yang membuat kunjungan ke China.

Deligasi MForce Bike itu terbang ke China bagi melihat sendiri perkembangan dan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) motosikal berkenaan.

Berdasarkan model tanah liat yang dipertontonkan, dapat lihat motosikal berkenaan tampil dengan garis badan yang cukup agresif dan 'sporty'.

Apa yang pasti, rupa parasnya itu dilihat tidak kalah dan mampu untuk memberi saingan termasuk kepada model 'supermoped' popular yang sedang mendominasi pasaran negara ketika ini.

Pengurus Unit Penyelidikan dan Perancangan Pembangunan Produk MForce, Omar Yani Othman, berkata penayangan model tanah liat tersebut adalah fasa penting dalam memberikan bayangan pertama rupa bentuk kapcai 150 cc klac auto itu.

"Ini adalah rupa bentuk asas jentera yang bakal kita keluarkan. Selepas fasa model tanah liat ini selesai, ia akan melalui proses imbasan tiga dimensi (3D scanning) untuk perincian kejuruteraan dan reka bentuk yang lebih tepat sebelum beralih ke fasa pembangunan seterusnya," katanya.