REKAAN Modenas Z15GT (2025): Bila Legasi Kawasaki Bersatu Dengan Jiwa Malaysia

Tampil dengan rekaan cukup menarik, 'Supermoped' pertama syarikat pengeluar motosikal nasional, Modenas Z15GT (2025) dilancarkan sempena Grand Prix (GP) Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang

TERKINI

10/30/20252 min read

PERNAHKAH anda terfikir bagaimana sebuah karya agung dilahirkan? Bagi supermoped terbaharu yang menjadi bualan hangat ketika ini, Modenas Z15GT (2025), ia bukanlah sekadar lakaran di atas kertas.

Sebaliknya, ia adalah manifestasi sebuah pengembaraan, pertembungan dua budaya, dan jelmaan falsafah rekaan yang mendalam dan menariknya - antara Jepun dan Malaysia.

Kisah unik ini bermula pada tahun 2022, apabila seorang tokoh pereka terkemuka dan disegani dari Jepun menjejakkan kaki di bumi Malaysia. Dia bukan calang-calang orang, tetapi Keishi Fukumoto, Ketua Pereka Kawasaki sendiri.

Sekalipun dirahsiakan, kedatangannya ketika itu dapat dihidu bukanlah sekadar lawatan biasa. Selama seminggu, Fukumoto-san menyelami denyut nadi budaya permotoran negara, memerhati gelagat penunggang di jalan raya Malaysia malah menyaksikan sendiri kehangatan perlumbaan Cub Prix.

Kepada yang tak tahu, Fukumoto adalah maestro di sebalik rekaan ikonik seperti Kawasaki ZX-9R dan penggagas falsafah 'Sugomi'.

Sugomi adalah perkataan Jepun yang membawa maksud aura atau semangat yang dipancarkan oleh objek atau individu yang memiliki kekuatan luar biasa.

Falsafah inilah yang menjadi DNA rekaan moden Kawasaki - gabungan elemen 'Fierce' (Ganas), 'Sexy' (Menggoda) dan 'Sharp' (Tajam) yang pertama kali diterapkan sepenuhnya pada model hebat Kawasaki Ninja H2 SX.

Dalam pertemuannya bersama media tempatan ketika itu, yang turut disertai penulis MotoDotMy.com sendiri, Fukumoto mengakui kekagumannya terhadap budaya masyarakat Islam dan sempat melawat beberapa masjid di Malaysia.

Katanya, dia mencari sesuatu yang lebih dari sekadar garisan dan bentuk. Namun turut mencari "jiwa" untuk diserapkan ke dalam sebuah jentera.

Hasil daripada lawatan itu, lahirlah Modenas Z15GT (2025) yang dilancarkan pada 25 Oktober lalu sempena Grand Prix Malaysia 2025, model yang bukan sekadar sebuah produk kerjasama teknikal, tetapi sebuah karya yang disuntik dengan sentuhan peribadi Fukumoto dan pasukan pereka tempatan.

Falsafah Sugomi diterjemahkan dengan begitu padu pada Z15GT. Lihat sahaja posturnya yang agresif dengan bahagian hadapan yang rendah dan ekor yang meninggi, seolah-olah seekor pemangsa yang sedia menerkam.

Lampu hadapan LED direka umpama mata helang yang tajam memandang mangsanya, manakala setiap garisan badannya tajam dan penuh keyakinan.

Tetapi apa yang menjadikan rekaan Modenas Z15GT ini begitu istimewa adalah sentuhan Malaysia.

Dalam pencarian Fukumoto, dia menemui inspirasi yang tidak dijangka tetapi amat bertepatan – ikan Arowana. Yang menariknya, ia turut menjadi simbol kekuatan, kebanggaan, dan kemewahan dalam budaya tempatan itu dijelmakan pada badan Modenas Z15GT yang mengalir lancar namun tetap tampak garang.

Siluet aerodinamiknya juga seolah-olah meniru gerakan seekor Arowana yang meluncur megah di dalam air, sebuah penghormatan yang cukup unik.

Maka, terhasillah sebuah supermoped yang bukan sahaja membawa DNA rekaan Kawasaki yang diiktiraf dunia, tetapi juga mengangkat identiti Malaysia dengan bangga.

Turut sama dibangunkan oleh 31 jurutera, pereka dan juruteknik tempatan, tak salah untuk menyatakan yang Modenas Z15GT adalah bukti bahawa anak Malaysia mampu berdiri setanding dengan jenama global.

Dalam segmen 150 cc yang begitu sengit khususnya di Malaysia, rekaan Modenas Z15GT ternyata tidak kalah.

Ia bukan sekadar jentera yang laju, tetapi sebuah karya seni bergerak yang mempunyai ceritanya yang tersendiri. Sebuah kisah tentang bagaimana falsafah rekaan dari Jepun datang mencari ilham, dan akhirnya jatuh cinta dengan jiwa Malaysia.

Tahniah kepada Modenas yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Roskan yang rasanya boleh 'bertenang' sedikit atas 'kelahiran' Modenas Z15GT ini.