REKAAN Tak Cukup 'Umph', LETBE Ambil Serius Pandangan 'Pakar' Malaysia

Ketika sesi 'tayangan' eksklusif motosikal 'Supermoped' klac auto itu kepada media Malaysia, LETBE turut mendapatkan input dan kritikan membina mengenai reka bentuk motosikal itu yang masih dalam bentuk model tanah liat

TERKINI

9/10/20261 min read

KEPADA yang merasakan rekaan motosikal kapcai 'Super' klac auto 150 cc hasil kerjasama MForce Bike dan LETBE yang 'tertiris' tidak begitu 'umph', jangan bimbang kerana akan pembaharuan yang bakal dijalankan dari sudut berkenaan.

Seperti diketahui, motosikal berkenaan dihasilkan atas kerjasama MForce Bike bersama pengeluar motosikal China, Haojin Motorcycle dan akan menggunakan lencana LETBE.

Setakat ini, motosikal berkenaan masih dalam proses pembangunan dan hanya didedahkan secara super eksklusif kepada media dan KOL automotif Malaysia yang berkunjung ke pusat R&D Haojin di Guangzhou.

Dan kehadiran 'pakar-pakar' itu bukan setakat untuk melihat sendiri perkembangan pembangunan motosikal berkenaan semata-mata, tetapi dijadilkan LETBE untuk mereka mendapatkan input dan kritikan membina mengenai reka bentuk motosikal itu yang masih dalam bentuk model tanah liat.

Menurut MForce Bike, apa yang dibuat oleh LETBE itu adalah model yang dikeluarkan nanti akan menepati selera pengguna Malaysia.

Sesi perbincangan membabitkan rekaan itu nyata bukan sekadar gimik namun dihadiri secara serius oleh pengurusan tertinggi LETBE dan turut disertai Ketua Pereka bentuk jenama berkenaan yang tekun mencatat setiap pandangan pihak media.

Fokus utama perbincangan terarah kepada estetika luaran, terutamanya di bahagian hadapan motosikal dengan rata-rata pengamal media mencadangkan agar bahagian kepala motosikal itu direka bentuk supaya tampil lebih runcing dan agresif, berbanding bentuk sedia ada.

Malah menariknya, selain dari sudut rekaan, beberapa aspek penambahbaikkan turut 'diusik' termasuk membabitkan komponen supaya ia akan lebih 'serasi' dengan pengguna tempatan.