REKOD Sempurna Hafizh Syahrin Diteruskan
Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah meneruskan rentak cemerlangnya dalam kempen Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 apabila melakar kemenangan ke-7 berturut-turut dalam saingan kelas elit ASB1000 di Mandalika
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/8/20261 min read


PENGUASAAN pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah dalam kempen Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 berterusan apabila melakar kemenangan ke-7 berturut-turut dalam saingan kelas elit ASB1000, hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Litar Mandalika, Indonesia itu, bekas pelumba MotoGP negara itu sekali lagi mempamerkan tunggangan berkelas dunia meskipun terpaksa mengharungi pertarungan sengit sehingga garisan penamat.
Bermula dari petak pertama, perlumbaan pada mulanya dipimpin oleh pelumba Jepun (SDG HARC-PRO), Keito Abe yang mengambil kesempatan merampas kedudukan pendahulu selepas Lachlan Epis dibatalkan akibat kesilapan jump start.
Begitupun, Hafizh kekal tenang membaca taktikal lawan sebelum mempamerkan kelajuan sebenar jenteranya dengan memintas Abe pada pusingan kelima, sekali gus mengambil alih kedudukan pendahulu.
Menariknya, Abe tidak membiarkan Hafizh untuk bersenang lenang dan memberi tekanan dengan kemuncaknya pada dua selekoh terakhir sebelum pengalaman memberikan kelebihan siapa terlebih dulu melepasi garisan penamat.
Akhirnya, Hafizh meraih kemenangan dengan kelebihan 0.130 saat di depan Abe dengan catatan masa keseluruhan 23 minit 57.218 saat.
Abe terpaksa akur di tempat kedua manakala pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat melengkapkan podium di tempat ketiga.
"Saya sengaja membiarkan dia (Abe) mendahului untuk mengkaji laluan tunggangannya. Namun, sebaik menyedari Nakarin semakin merapati kumpulan hadapan, saya tahu saya perlu memintas segera dan mengawal sendiri rentak perlumbaan," kata Hafizh mengulas perlumbaannya.
Biarpun berjaya merekodkan kemenangan ketujuh daripada tujuh perlumbaan, pelumba berusia 30 tahun itu enggan mendabik dada, malah menegaskan pasukannya akan terus bekerja keras membaiki cengkaman tayar bagi menghadapi aksi Perlumbaan 2 esok.
"Kemenangan ini sangat sarat dengan emosi. Saya tujukan kejayaan ini buat pasukan, hadiah hari jadi istimewa buat bapa dan mekanik saya, serta rakan pelumba, Andi yang ditimpa kemalangan. Terima kasih juga kepada 'bos' (Tunku Mahkota Ismail) atas sokongan yang tidak berbelah bahagi," katanya.

