REKOD Terpantas Moto2, Moto3 Di Sepang Lebur, Pirelli 'Buat Hal' Di GP Malaysia 2024!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/6/20241 min read

SEJARAH tercipta lagi apabila rekod sepusingan terpantas dalam kategori Moto2 dan Moto3 di Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PETRONAS SIC) berjaya dipecahkan tahun ini.

Apa yang menarik, seperti di beberapa venue sebelum ini, rekod-rekod ini dipecahkan dengan menggunakan tayar Pirelli sekali gus membuktikan kualiti pengeluar tayar dari Itali itu dalam arena perlumbaan global.

Jorge Navarro, pelumba dari pasukan OnlyFans American Racing meletakkan namanya sebagai pemenang rekod terpantas kategori Moto2 di Sepang dengan mencatatkan masa 2 minit 04.412 saat (s) menggunakan tayar Pirelli jenis kompaund 'soft'.

Catatan masa ini memecahkan rekod terdahulu (2'04.769s) yang dipegang oleh Brad Binder sejak 2019.

Apa yang menarik, Navarro bukan satu-satunya pelumba mencatatkan masa lebih pantas daripada Binder, malah enam pelumba lain turut mencatatkan masa lebih baik berbanding rekod lama, semuanya menggunakan tayar kompaund yang sama.

Dalam kategori Moto3, Adrian Fernandez dari pasukan Leopard Racing Honda turut tampil dengan prestasi cemerlang apabila melakukan 2'09.542s, iaitu 1.3 saat lebih pantas daripada rekod lama yang dipegang oleh Jaume Masia pada tahun lalu, 2'10.846s.

Fernandez menggunakan tayar Pirelli kompaund 'soft' dan berjaya memperbaharui rekod terpantas itu pada sesi kelayakan. Selain Fernandez, 10 pelumba lain turut mencatat masa lebih laju berbanding rekod lama dalam Kelayakan.

Sesi kelayakan pada Jumaat menyaksikan cuaca yang sangat panas dengan suhu permukaan litar mencecah 52 darjah selsius.

Ketika sesi latihan bebas kedua dan kelayakan, suhu sedikit menurun tetapi masih mencabar, dengan suhu mencecah 43 darjah selsius semasa kelayakan. Walaupun dalam keadaan yang mencabar ini, tayar Pirelli terbukti memberikan prestasi cemerlang.

Pengarah Sukan Perlumbaan Motosikal Pirelli, Giorgio Barbier menjelaskan situasi berkenaan.

"Pada hari pembukaan GP Malaysia, keadaan litar mencabar akibat hujan lebat pada malam sebelumnya, tetapi keadaan bertambah baik pada hari kelayakan.

"Dengan keadaan litar yang lebih bergetah dan suhu yang lebih rendah, pelumba berjaya mencatatkan rekod baharu.

"Keupayaan tayar Pirelli kompaund 'soft' ini untuk memberikan cengkaman maksimum dalam pelbagai keadaan litar membuktikan keunggulan teknologi kami," kata Barbier.

Menerusi pencapaian luar biasa di Malaysia, ia memberi petanda yang Pirelli semakin mengukuhkan reputasinya sebagai pilihan utama dalam dunia perlumbaan motosikal dunia.