RENTAK Cemerlang Diteruskan, Hakim Danish Mula Petak Ke-2 Di Brno

Pada sesi Kelayakan 2 (Q2), Hakim Danish yang mewakili pasukan AEON Credit MT Helmets MSi mencatat masa ke-2 terpantas 2 minit 04.086 saat

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/20/20261 min read

SELEPAS mendominasi hari pertama Moto3 Grand Prix Rep. Czech 2026, semalam, pelumba negara Hakim Danish Ramli meneruskan rentak cemerlang di Brno, hari ini apabila berjaya meraih petak ke-2 yang sekali gus meletakannya di barisan depan perlumbaan, esok.

Pada sesi Kelayakan 2 (Q2), pelumba pasukan AEON Credit MT Helmets MSi itu mencatat masa ke-2 terpantas 2 minit 04.086 saat (s).

Menariknya, Hakim Danish yang dua kali memecahkan rekod terpantas Moto3 di Brno hanya dipisahkan 0.017s daripada pelumba Sepanyol, David Almansa yang meraih petak utama selepas mencatat masa terpantas 2:04.069s.

Seorang lagi pelumba Sepanyol, Maximo Quiles akan melengkapkan barisan hadapan perlumbaan selepas mencatatkan 2:04.490s.

Semalam, pelumba berusia 19 tahun itu mencipta sensasi apabila memecahkan rekod terpantas di Litar Brno selepas mencatatkan msa terpantas sesi Latihan Bebas 1 (FP1) sebelum mengulanginya pada sesi Latihan.

Catatan yang dilakukannya bukan sahaja meletakkannya sebagai pelumba terpantas semalam namun malah memadam rekod lama milik pelumba Itali, Guido Pini yang mencatat masa 2:05.019s tahun lalu.

Apa yang pasti, permulaan di barisan depan yang diraih hari ini dilihat membuka peluang cerah buat pelumba kelahiran Terengganu itu untuk memburu podium kedua musim ini dalam saingan Moto3.

Setakat ini, pencapaian terbaiknya adalah menamatkan perlumbaan GP Itali bulan lalu di tempat ketiga pada sekali gus menghadiahkan podium sulung buat dirinya di pentas dunia.