REPSOL, Honda 'Berpisah'?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/30/20241 min read

SYARIKAT minyak gergasi Sepanyol, Repsol dilaporkan akan mengakhiri hubungan yang sudah terjalin selama hampir 30 tahun bersama Honda di pentas MotoGP.

Gandingan Repsol dan Honda disifatkan sebagai antara kerjasama strategik paling popular membabitkan pengeluar serta penaja.

Memetik laporan Motorsport, Repsol akan menamatkan kerjasama membabitkan penajaan dengan Honda bermula pada tahun 2025.

Syarikat itu begitupun mahu terus terbabit dalam MotoGP, namun mempromosi minyak bukan berasaskan fosil dan mungkin menaja syarikat berkaitan bahan api mampan yang akan menjadi sebahagian daripada MotoGP.

Repsol sebelum ini tampak seperti sudah pun mengendurkan komitmennya kepada Honda pada musim ini selepas pengunduran pelumba bintang pasukan itu, Marc Marquez.

Perpindahan Marquez didakwa mengurangkan publisiti kepada Honda.

Selepas bertahun-tahun bergelut, jentera pasukan Repsol Honda tanpa Marquez dengan jelas nampak tak mampu bersaing dengan jenama-jenama lain.

Akhbar Sepanyol, Mundo Deportivo pada tahun lalu melaporkan pada tahun lalu yang Repsol mahu menamatkan kerjasama dengan Honda sejurus kontrak kedua-duanya berakhir pada 31 Disember 2024.

Secara keseluruhan, Honda memenangi 15 gelaran dan 183 kemenangan Grand Prix bersama Repsol.

Ketika Marquez tampak cukup gembira bersama pasukan baharunya Gresini Ducati, penggantinya Luca Marini menjadi satu-satunya pelumba sepenuh masa di MotoGP yang masih buntu mengutip sebarang mata selepas enam pusingan.

Rakan sepasukannya, Joan Mir secara terbuka mengakui pernah memikirkan mengenai persaraan pada musim pertamanya di Repsol Honda.