REPSOL Honda Tak Fokus Kepulangan Semula Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/8/20241 min read

MARC Marquez meninggalkan Honda untuk menyertai Ducati dalam usahanya menambah koleksi gelaran MotoGP miliknya namun ramai yang berpandangan pelumba itu akan kembali ke pengeluar Jepun itu.

Antara 'bukti' yang menyatakan pelumba Sepanyol itu akan kembali ke Honda adalah ucapan terakhirnya kepada pasukan itu bukanlah 'bye-bye' atau selamat tinggal namun jumpa kamu lagi.

Marquez hanya menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini dengan kontrak selama setahun dan menyaksikan pintu untuk menyertai pasukan lain termasuk Honda terbuka buat juara dunia MotoGP enam kali itu pada 2025.

Tetapi ketika ditanya mengenai potensi kepulangan semula Marquez ke Honda pada 2025, jawapan yang diberikan oleh bos besar pasukan itu, Alberto Puig tidak begitu meyakinkan.

“Keutamaan Honda ketika ini adalah untuk meningkatkan prestasi jentera," kata Puig kepada Marca. "Kami perlu memiliki jentera yang kompetitif sekali lagi, seperti yang kamu miliki beberapa tahun lalu.

"Ia adalah keutamaan, perkara paling penting.

"Kemudian, secara logiknya, membangunkan jentera ketika musim sejuk dan berlumba pada musim 2024 dan lihat jentera apa yang kami miliki dan apa pelumba-pelumba kami boleh lakukan dengan jentera itu.

"Dan daripada pertengahan musim dan selepas itu, kami boleh benar-benar lihat di mana posisi kamu. Itu satu-satunya perkara yang boleh saya katakan ketika ini.

"Untuk memikirkan mengenai perkara melampaui perkara itu pasti sesuatu yang gila. Keutamaan, membangun dan meningkatkan prestasi jentera," kata Puig.

Honda dan Yamaha dijangka akan mendapat manfaat daripada sistem konsesi baharu yang diperkenalkan oleh MotoGP musim 2024 namun Puig menjelaskan tugas untuk 'pulih' kepada sesebuah pasukan MotoGP bukan mudah.

"Jelas, perkara membabitkan konsesi memang akan banyak membantu," kata Puig. "Saya tidak tahu, jika proses membaikpulih kita katakan setahun, dengan konsesi mungkin kamu boleh lakukannya dengan enam bulan.

"Kamu memerlukan sekurang-kurangnya setahun, untuk membawa kembali jentera ke tahap, kita katakan hampir," katanya.

Selain itu, Puig turut mengakui yang Marquez masih mempunyai keupayaan untuk menambah koleksi kejuaraan dunia yang dimilikinya.