REPSOL Honda Tanpa Marc Marquez 'Berubah Wajah', Menarik Atau Pelik?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/13/20241 min read

REPSOL Honda yang kehilangan khidmat juara dunia MotoGP enam kali, Marc Marquez musim ini meneruskan siri 'rombakan' terhadap pasukan itu dan kali ini menerusi penggunaan 'Liveri' 2024 serba baharu.

Tidak lagi dimonopoli oleh warna tradisi Jingga, liveri baharu Repsol Honda yang dikemudi Joan Mir dan Luca Marini itu kini didominasi warna Honda iaitu Merah, Putih dan Biru.

Dan menariknya, rim jentera RC213V juga tidak lagi dipadankan dengan warna Jingga, namun Hitam.

Menurut Honda Racing Corporation (HRC), pembaharuan besar-besaran itu - paling ketara sejak 1995 - adalah sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-30 kerjasama syarikat itu dengan syarikat petroleum Sepanyol, Repsol.

Begitupun, seperti khabar angin sebelum ini, perkataan Repsol yang mendominasi 'Fairing' RC213V beralih posisi dan lebih kecil berbanding sebelumnya.

Dan kedudukan itu digantikan dengan perkataan Honda yang berlatar belakang warna Biru.

Turut tidak kelihatan dalam 'Liveri' baharu ini adalah logo syarikat minuman, Red Bull.

Seperti diketahui, Repsol Honda mengalami kemerosotan pretasi ketika ini dan gagal meraih kemenangan sejak kali terakhir pada 2021 di Misano menerusi Marquez.

Begitupun, kemarau kemenangan untuk kem Honda berjaya ditamatkan oleh pelumba pasukan satelit, LCR Honda di Cota tahun lalu menerusi Alex Rins.

Selepas menamatkan kempen musim lalu di kedudukan tercorot kategori pengeluar, Honda seperti Yamaha diberikan kelebihan menerusi peraturan konsesi teknikal MotoGP.

Ia terasuk akses untuk ujian persendirian dengan pelumba utama, pengecualian membabitkan pembekuan reka bentuk enjin dan diberikan pelepasan lebih baik dari sudut kemas kini aerodinamik.

Di Sepang minggu lalu, Mir menamatkan ujian di kedudukan ke-10 terpantas, 0.692 saat lebih perlahan berbading juara dunia, Francesco Bagnaia dari Ducati.

Repsol Honda dijangka akan menggunakan 'Liveri' baharu itu ketika sesi ujian rasmi pra-musim di Qatar yang dijadual pada 19 dan 20 Februari ini.