RESPON Marc Marquez Perpindahan Toprak Razgatlioglu Ke MotoGP
Kehadiran juara dunia dua kali WorldSBK, Toprak Razgatlioglu ke pentas MotoGP pada musim 2026 disambut baik juara dunia lapan kali kejuaraan itu, Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/19/20251 min read


MARC Marquez teruja dan mengalu-alukan kehadiran juara dua kali WorldSBK, Toprak Razgatlioglu ke MotoGP pada musim depan.
Bintang WorldSBK, Razgatlioglu mengesahkan penyertaannya di MotoGP pada musim 2026 selepas menandatangani kontrak bersama Yamaha Racing untuk menyertai Pramac Yamaha.
Keputusan itu sekali gus menamatkan spekulasi yang berpanjangan sejak berbulan-bulan dengan pelumba kelahiran Turki itu turut dikaitkan dengan beberapa pengeluar termasuk Honda.
Razgatlioglu sememangnya mempunyai hubungan yang baik dengan Yamaha, pengeluar yang menghadiahkannya kejuaraan dunia pertamanya di WorldSBK pada 2021.
Marquez yang juga pendahulu carta kejuaraan MotoGP musim ini berkata, kehadiran Razgatlioglu jelas mengujakan malah bakal meningkatkan populariti kejuaraan itu.
"Sudah tentu bagus untuk menerima seorang lagi juara di kejuaraan ini seperti Toprak," kata Marquez memetik laporan Crash.net.
"Jadi, ayuh kita lihat. Pasti menarik untuk melihat gaya tunggangan yang berbeza, kerana di Superbike dia sentiasa nampak seperti dia menunggang dengan menggunakan tayar depan dan amat kuat.
"Jadi ia pasti mengujakan dan bagus untuk kejuaraan untuk mendapat satu lagi pelumba dari negara berbeza."
Menyertai kempen MotoGP musim depan turut menyaksikan Razgatlioglu perlu menyesuaikan diri dengan tayar Michelin sebelum kejuaraan itu melakukan perubahan penyedia tayar kepada Pirelli pada musim 2027.
Menariknya, tayar Michelin dikatakan tidak sesuai dengan gaya tunggangan Razgatlioglu yang gemar melakukan brek secara ekstrem.
