REVIU Kawasaki Z900 SE (2023): Kemunculan Semula Yang Berjaya Cipta Kejutan!

REVIU

9/10/20235 min read

SUSAH nak dinafikan ramai kurang teruja, malah skeptikal tatkala Kawasaki Malaysia mengumumkan akan melancarkan model 'Naked' yang pernah ada pasaran sebelum ini - Kawasaki Z900/SE (2023).

Tetapi apabila harga motosikal berkenaan didedahkan, ramai yang mulai 'goyang' dan tak senang duduk.

Apa tidaknya, berikutan ia dipasang di Malaysia, harga untuk Kawasaki Z900 dan Z900 SE (2023) boleh dikatakan tiba dalam kategori 'marhaen', malah jauh lebih murah berbanding sebelum ini.

Dan ketika kami mendapat tahu ada penulis otai terasa malas nak melakukan reviu mengenainya kerana pernah melakukannya sebelum ini, kami dengan hati terbuka menerimanya.

Jadi selepas beberapa hari menguji jentera yang dihasilkan bagi menggantikan model 'maha popular' satu ketika dulu iaitu Kawasaki Z800, ini ulasan kami. Jom.

REKAAN

Pasti ada mulut-mulut jahat mengatakan yang rekaan Kawasaki Z900/SE sudah 'dated' atau lama, setaraf 'usianya' tetapi bagi kami, pandangan itu tak rasanya begitu tepat.

Malah tak salah untuk menyatakan model yang dihasilkan dengan asas karya 'Sugomi' Kawasaki ini masih antara terkacak di pasaran di mana persaingan dalam segmennya perlu diakui cukup padat dan sengit.

Tampil dengan rekaan tipikal 'Naked', agresif ala 'streetfighter' dengan kerangka terdedah, ia memang digemari peminat segmen ini dan bagusnya trend itu masih belum berubah.

Dan apa yang lebih menarik bagi kami, Kawasaki Z900 atau Z900 SE (Model yang kami peroleh) ia tidaklah keterlaluan dan nampak seimbang tetapi setiap orang citarasanya berbeza.

Tetapi menurut telahan kami, melihat kepada trend di mana Kawasaki mula memberi kesegaran kepada model 'seusia' Z900, kami menjangkakan ia hanya menunggu masa untuk mendapat kemaskini yang sama.

TRENKUASA

Dijana enjin 4 Silinder Sebaris, apa yang tak boleh dinafikan adalah ia trenkuasa yang sudah terbukti ketahanannya dan tak akan memeningkan kepala pemiliknya selain mudah untuk menghadirkan senyuman kepada yang menunggang.

Tipikal karektor enjin yang mempunyai 'suara' yang merdu (4 Silinder Sebaris), kuasa yang dihasilkan Kawasaki Z900/SE ketika 'mid-range' dan 'top-end' memang berupaya memberikan kegembiraan - sekalipun ia masih standard.

TUNGGANGAN

Berdasarkan angka kuasa dan tork yang dimiliki, adalah tipu untuk mengatakan ia tak mampu memberikan pengalaman tunggangan yang mengujakan termasuk kepada mereka yang cintakan kelajuan atau pengejar adrenalin.

Tetapi disebalik kuasa yang dimiliki jentera ini, ia sebenarnya tak sukar untuk dikawal dan paling penting, pulasan terotel rasa cukup responsif.

Tetapi rasanya kepada penunggang 'season' atau 'otai', ia mungkin memberikan rasa kurang teruja namun kepada penulis, adrenalin yang dihasilkan ketika menunggangnya sudah mencukupi.

Sebagai model yang terkenal dengan prestasi, pasti ramai yang berfikir agak 'seram' menunggang Kawasaki Z900/SE tetapi apa yang boleh kami katakan, ia tak seperti itu di mana pengendalian serta tunggangannya cukup mudah dan santai.

Terkenal sebagai motosikal yang versetail, ia memang boleh dijadikan 'jentera perang' di atas litar atau menjadi motosikal dibawa bersantai untuk menjamu seleras di Lemang Tok Ki.

Bermula dari sudut ergonomik, tipikal motosikal 'Naked' Kawasaki Z900 SE (kita berbicara mengenai model SE) memang menghasilkan gaya tunggangan yang agresif. Dengan penggunaan bar hendal agak ke bawah, penungang memang perlu sedikit membongkok ala model Superbike.

Tetapi berikutan kedudukan pelana yang ergonomik dengan rekaan pelana yang kembang dan menguncup di tangki minyak memang membolehkan ia ditunggang tak kira secara agresif atau melakukan aktiviti santai.

Dan menariknya, input yang diperoleh daripada pembonceng juga sama.

Selain itu, penggunaan kerangka jenis trellis (kerangka terdedah), selain meningkatkan keupayaan dan 'kesedapan' menunggang, ia juga trend yang masih relevan ketika ini untuk peminat 'Naked'.

Dengan berat 213 kg (model SE), ia perlu diakui agak berat bagi sebuah motosikal moden tetapi bagusnya, keseimbangan yang dimiliki Kawasaki Z900/SE cukup baik. Dan berikutan sistem suspensinya yang 'best', ia cukup stabil ketika berada di kelajuan tinggi mahupun ketika bermain selekoh.

Begitupun, kelancaran tunggangan juga pastinya turut dibantu dengan sistem suspensi yang berkualiti. Menggunakan fork depan jenis terbalik dengan ciri pelarasan penuh selain suspensi belakang 'kayangan' (Ohlins S46), ia memang membuatkan menunggang motosikal ini bertambah sedap.

Jadi, rasanya tak begitu ralat untuk membayar lebih (RM 42,900, RM 44,900 kepada RM 55,900) untuk mendapatkan model SE. Mengulas prestasi membrek, apa yang digandingkan kepada model Z900SE (kaliper Brembo M4.32) memang cukup mengujakan.

Sekalipun brek kaliper Nissin bagi model Standard dikatakan sudah mencukupi, penggunaan kaliper depan Brembo M4.32 memang berjaya memberi lebih keyakinan dan tugas membrek dilakukan dengan tepat dan lancar.

Dan untuk penulis yang memiliki ketinggian 173 cm, capaian kaki Kawasaki Z900 ini memang 'Just nice' manakala klac ‘Slip and Assist’ menyaksikan Kawasaki Z900/SE bertambah menarik.

TEKNOLOGI

Sebagai motosikal moden, sistem bantuan elektronik sesebuah model menjadi antara 'kewajiban' atau 'selling point' ketika ini terutamanya buat penunggang terutama BBNU.

Untuk Kawasaki Z900SE, sistem bantuan tunggangan elektronik yang dipadankan kepada boleh dianggap baik atau lebih tepat, mencukupi dan mungkin setaraf dengan beberapa model yang jauh lebih baharu.

Seperti biasa, ia mempunyai 4 tetapan mod tunggangan (Sport, Road, Rain, Rider) yang memberikan lebih kawalan dan pilihan kepada penunggang. Tetapan untuk Kawalan Traksi turut tersedia lengkap dengan pemetaan tersendiri berdasarkan mod tunggangan. Dan kepada yang 'expert', ia juga boleh dinyahaktif sepenuhnya.

Dan bersama sistem brek, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) turut tersedia.

Panel meter yang digunakan, TFT berwarna 4.3 inci lengkap dengan ciri ke telefon bimbit amat dialu-alukan selain cukup moden. Untuk melakukan tetapan juga tak susah untuk diakses selain paparan yang cukup terang.

Selain itu, sistem lampu LED penuh juga membuatkannya motosikal ini nampak lengkap.

Apa kurang best?

Selain lengan ayun (rekaan kotak), bar hendal yang dipadankan kepada Z900/SE juga tak membuatkan motosikal ini nampak mahal.

Dan untuk motosikal dengan kaliber seperti Z900 atau lebih-lebih lagi Z900 SE, ia sepatutnya sudah dipadankan dengan ciri seperti 'Quickshifter' yang membuatkan menunggangnya lebih seronok.

Kelebihan lain

Sebagai model yang diakui sudah berusia di pasaran, sesuatu yang menarik lagi adalah komponen atau aksesori 'aftermarket' Kawasaki Z900/SE melambak di pasaran.

Dengan dunia tanpa sempadan seperti sekarang, hanya dengan satu klik anda boleh mendapatkan apa yang dihajati.

KESIMPULAN

Dengan pakej yang dimiliki Kawasaki Z900/SE (2023) selain 'kekuatannya' membabitkan harga, tak boleh nak dinafikan mengapa tak susah untuk menjadikannya sebagai antara pilihan teratas, disebalik kehadiran model-model lebih baharu.

Dan lebih menakjubkan, ia masih menjadi pilihan sekalipun ketika informasi cukup mudah didapati, hanya di hujung jari. Jadi tak susah untuk menjustifikasi kenapa ia masih berjaya mendapat status 'laku keras' sekalipun sudah dua kali dilancarkan.