REVIU KTM 390 Adventure (2023): Tangkas Berprestasi, Spesifikasi Lengkap Bak Jentera Aras Tinggi!

REVIU

8/23/20235 min read

KETIKA KTM Malaysia membawa masuk model 'Adventure Touring' KTM 390 Adventure ke pasaran tempatan, selain teruja, ramai juga mengeluh mengenai angka harga yang ditawarkan untuk jentera berkenaan.

Dijual pada harga asas lebih RM 36,900 (harga semasa), ia boleh dikatakan tidak begitu 'mesra poket'. Dan seperti biasa, ada 'mulut nakal' yang melabel banyak lagi motosikal 'best' yang boleh dibeli dengan harga seperti itu.

Tak terkesan dengan kritikan dan sedar dengan potensi dan kualitinya, pihak pengedar rasmi KTM di Malaysia, Eurotech Wheel terus mengekalkan penawaran model berkenaan hingga kini. Dan kami di MotoDotMy mendapat peluang untuk mengujinya, baru-baru ini.

Jadi, jom layan reviu daripada kami.

Rekaan - Kemas, Memang Nampak 'Mahal'

Salah satu perkara yang perlu diakui untuk motosikal keluaran syarikat dari Eropah adalah - rekaannya sekalipun unik dan pelik, namun tetapi menarik dan sedap mata memandang - dan pandangan itu turut terpakai kepada KTM 390 Adventure.

Dan sekalipun input mengenai rekaan adalah subjektif, bagi pendapat penulis, KTM 390 Adventure memang nampak seperti motosikal yang mahal dan lebih menarik, ia bertemakan rali serta agresif.

Dari sudut penggayaan, KTM 390 Adventure dari sudut dimensinya memang berpewatakan seperti motosikal bersesaran besar. Apa yang menarik, meluncur di atas jalan raya memang nampak bergaya.

Trenkuasa - 'Bertenaga', Padan Dengan Kelasnya

Dijana trenkuasa 373.2 cc, 1 Silinder, kuasa yang dihasilkan oleh KTM 390 Adventure sememangnya boleh dijangka tetapi jangan berharap ia mempunyai 'kuasa' seperti motosikal dengan enjin bersesaran tinggi.

Tetapi apa yang menarik dan boleh dipuji mengenai trenkuasa ini adalah KTM 390 Adventure mempunyai keseimbangan yang baik di antara angka kuasa dan tork (44 Hp @ 9,000 rpm, tork 37 Nm @ 7,000 rpm).

Dan boleh dijamin juga, anda tidak akan merasa 'lelah' untuk melakukan pecutan awal dan 'top' motosikal ini juga baik dalam kelasnya. Dan untuk penulis, angka 170 km/j boleh dicapai di lebuh raya sekalipun mempunyai pembonceng.

Tipikal enjin satu silinder, akan terasa sedikit gegaran daripada enjin tetapi perlu diakui ia tidaklah sampai menjengkelkan atau mengganggu tunggangan.

Sebagai syarikat yang bertanding di MotoGP, tiada apa yang perlu ditakuti dengan trenkuasa motosikal ini kerana KTM memang mempunyai reputasi tinggi dari sudut realibiliti.

Tunggangan - Boleh Dipuji Tapi...

Dengan berat 176 kg (Curb), pengendalian KTM 390 Adventure diakui cukup mudah, tangkas. Ini pastinya dibantu oleh kerangka 'Trellis' yang ringan.

Seperti biasa, penulis akan menguji motosikal dalam spesifikasi 'standard kilang'. Tetapi untuk KTM 390 Adventure, penulis perlu menala suspensi depan kerana ia agak berbuai selepas melepasi kelajuan 130 km/j.

'Goyang' itu boleh dirasai ketika berada dalam kelajuan tinggi di lebuhraya tetapi berikutan sistem suspensinya boleh dilaras, masalah itu dapat diatasi.

Sebelum pergi lebih jauh, ketinggian pelana 855 mm diakui mungkin agak tinggi untuk mereka yang memiliki ketinggian 170 cm ke bawah.

Bagi penulis yang memiliki ketinggian 173 cm, kaki memang perlu dijengketkan sedikit terutama ketika berhenti atau berada dalam keadaan pegun.

Ketika pegun juga, adalah lebih disarankan bagi sesiapa yang 'tak cukup tingggi' untuk tidak berada di posisi menunggang jika mahu mengalihkan motosikal berkenaan.

Turut dilengkapi visor angin, tetapi ia boleh dikatakan agak kecil untuk saiz motosikal berkenaan.

Antara perkara yang boleh mendatangkan senyuman daripada motosikal ini adalah ciri ergonomiknya. Pelana penunggang dan pembonceng diakui selesa, lebar dan sesuai untuk touring. Dengan berat lebih 100 kg (penulis), tidak bermasalah untuk melakukan perjalanan jauh.

Kedudukan handel bar yang tinggi juga tidak membuatkan penunggang cepat letih.

Jika serius dengan aktiviti perjalanan jauh, motosikal ini juga bersedia jika diletakkan 'Top box' atau Pannier (Kotak sisi).

Ia memang sesuatu yang amat digemari pengguna yang gemarkan aktiviti menjelajah ketika ini. Sebagai info, penulis tidak melakukan perjalanan jarak jauh yang ekstrem tetapi daripada tunggang uji yang dibuat, ia memang berkemampuan.

Selain itu, penulis sempat 'melayan' jem di ibu kota dan motosikal ini memang tidak bermasalah jika dijadikan 'kuda' yang ditunggang sehari-hari. Seperti dinyatakan, ia tangkas dan mudah dikendalikan.

Dibekalkan dengan tayar jenis 'dual purpose', meluncur di lebuh raya memang tidak begitu menjengkelkan (bunyi) malah mengambil selekoh juga tidak mendatangkan rasa takut.

Keupayaan itu pastinya bersandarkan kepada sistem suspensi dari jenama WP Apex boleh laras (compression dan rebound) dengan mudah di bahagian kiri dan kanan fork.

Kerangka dan subframe jenis steel trellis turut menghadirkan kestabilan dan kedudukan foot peg juga baik turut membantu. Selain itu, pelindung terotel memang ciri yang diperlukan untuk motosikal seperti ini.

Dan ciri elektronik seperti Kawalan Traksi (MTC) yang boleh dinyahaktif pasti digemari oleh sesiapa yang serius mahu 'bermain' di kawasan lasak. Ditambah dengan 'Cornering ABS' dan 'Off-Road ABS', ia sememangnya manambah senyuman.

Mengulas sistem brek yang dipadankan kepada motosikal ini, bagi penulis tiada apa yang perlu dikritik kerana mencukupi dalam kelasnya. (Cakera tunggal 320 mm kaliper radial Bybre dan cakera 230 mm belakang).

Dengan kapasiti tangki bahan api 14.5 liter, ujian yang dilakukan oleh penulis tak berjaya untuk mendapat angka seperti yang didakwa pengeluar (400 km). Ini berkemungkinan tahap 'gatal' tangan penulis yang selalu ingin memulas terotel.

Dan dipadankan dengan ekzos 'slip-on' Akrapovic, ia memang menghasilkan bunyi yang lebih baik daripada standard namun deruman enjin masih boleh kedengaran.

Spesifikasi Elektronik - Pakej Lengkap Serba Serbi

Melihat kepada ciri elektronik yang dipadankan kepada KTM 390 Adventure, boleh dikatakan KTM memang tidak kedekut dalam bab ini.

Tampil dengan teknologi canggih terotel 'Ride by wire', KTM 390 Adventure memiliki 2 mod kuasa (Sport, Touring), ABS Selekoh dan Kawalan Cengkaman (Boleh Dinyahaktif).

Ia boleh diakses dengan mudah menerusi butang di bahagian bar hendar kiri.

Di bahagian panel meter, skrin TFT berwarna 5 memang membuatkan KTM 390 Adventure tampak mewah. Ciri seperti sambungan ke telefon pintar menerusi aplikasi MY RIDE juga tidak begitu sukar untuk dikendalikan serlain sistem navigasi.

Macam Mana 'Off-Road', Ok Ke?

Berikutan ini adalah unit tunggang uji atau bahasa 'kasarnya' unit yang dipinjam, ujian di laluan 'off-road' yang dilakukan tidak begitu serius. Jadi secara ringkasnya, dan turut berpandukan kepada rakan-rakan yang lebih berpengalaman, ia memang memiliki keupayaan itu.

Malah ia juga mungkin antara daya tarikan utama motosikal ini dipinang peminatnya.

Tetapi perlu diingat, untuk melakukan aktiviti berkenaan, anda perlu mempunyai sekurang-kurangnya sedikit ilmu bagi mengelakkan kecelakaan.

Apa yang kurang 'Best'

Selain daripada gegaran di bahagian hendal bar ketika meluncur atas 130 km/j, untuk menunggang KTM 390 Adventure, anda memerlukan lesen B 'Full' sekalipun tambahan sesaran enjinnya tidak begitu besar tetapi itu bukan satu masalah besar.

Sekalipun tidak terlalu 'ditekan' angin, tetapi bagi penulis, visor angin yang lebih tinggi dan lebih mungkin lebih dialu-alukan sekalipun ia mungkin akan merencatkan sedikit prestasinya.

Selain itu, yang turut menjengkelkan adalah gear unit tunggang uji yang diperoleh penulis agak sukar untuk diposisikan kepada 'N'.

Kesimpulan

Tiba sebagai motosikal dalam segmen 'Adventure touring' aras tengah, KTM 390 Adventure perlu diakui mempunyai kemampuan yang baik dalam aktiviti berkenaan.

Tetapi selain aktiviti penjelajahan, ia juga cukup 'sedap' dilayan di kawasan agak mencabar seperti melalui laluan kampung mahupun lebuh raya atau kegunaan harian ke tempat kerja. Dan selepas beberapa hari bersama KTM 390 Adventure, apa yang boleh dikatakan adalah kami tidak segan untuk mengesyorkannya kepada anda.

Meskipun dilihat sesuai menjadi 'permulaan' yang bagus sebelum beralih ke 'cc' yang lebih tinggi, tetapi kepada yang tak mementingkan kelajuan, ia memang cukup 'ngam' untuk anda setiap masa dan diakui sebuah motosikal yang versetail.

Jadi, tak susah untuk menjustifikasikan mengapa KTM 390 Adventure memperoleh banyak maklum balas yang positif sebelum reviu ini dihasilkan sebelum ini. Adios.