REVIU Modenas Versys 650: Benarkah Penantian Yang Berbaloi-Baloi?

REVIU

1/14/20244 min read

TAK salah untuk menyatakan kehadiran Modenas Versys 650 menjadi antara perkara yang paling dinanti-nantikan di pasaran sejak kerjasama Modenas-Kawasaki termeterai.

Pernah menjadi antara model 'Sport/Adventure Touring' aras tengah paling popular di pasaran, antara yang menarik adalah Modenas Versys 650 tiba sebagai varian terkini yang turut dijual di pasaran global.

Justeru, ia lengkap dengan pelbagai kelengkapan terbaharu yang ditawarkan oleh Kawasaki namun paling menarik, sebagai model CKD dan dipasang di Gurun, Kedah, harga yang ditawarkan oleh Modenas memang cukup sedap didengar.

Turut teruja untuk mencubanya, kami di MotoDotMy.com akhirnya berpeluang menguji kemampuan motosikal yang mendapat banyak pujian ini selepas agak lama menanti. Jadi, ini pandangan kami selepas beberapa hari mengujinya. Jom.

Rekaan (4 Bintang)

Jika dulu ada yang mengutuk rekaan Versys 650 (Generasi terdahulu) yang seakan alien, untuk versi terbaharu ini, tidak susah untuk menyatakan ia antara paling kacak di pasaran sekalipun sedikit unik.

Kepada peminat Kawasaki, memang dapat dilihat yang rekaannya mengikuti 'lenggok' model 'Sportbike' jenama Jepun itu (Ninja) dan sejujurnya, ia menarik dan tidak keterlaluan.

Dan tidak seperti 'abangnya' Versys 1000 yang diakui agak menakutkan, rekaan Versys 650 nampak lebih 'tenang' namun pada masa sama turut garang dan masih nampak mahal.

Dengan penggayaan yang 'Sporty', ia bukan saja boleh memikat golongan berusia, malah golongan muda yang baru berjinak-jinak dalam arena 'touring' dan teringin melakukan aktiviti menjelajah seluruh negara dan negara jiran Thailand selepas mendapat inspirasi daripada Youtube.

Sebagai motosikal 'Sport touring' aras tengah, saiz yang dimiliki Versys 650 yang lebih langsing memang tak menimbulkan rasa gementar untuk ditunggang. Dipasang di Gurun, kualiti pemasangan Modenas Versys 650 juga boleh dikatakan boleh dipuji dengan tiada perasaan menjengkelkan dirasai.

Diberikan unit dengan pilihan warna Metallic Spark Black untuk tunggang uji kali ini, bagi pendapat kami, pilihan warna kedua yang sedikit mahal Candy Limegreen/Metallic Flat Spark Black berkemungkinan nampak lebih menarik terutama jika anda memang peminat 'Kawasaki'.

Jadi berbanding pencabarnya yang lain di pasaran termasuk di Malaysia, ia memang tidak kalah sedikitpun dari sudut penggayaan.

Trenkuasa (4 Bintang)

Tak susah untuk menyatakan trenkuasa Modenas Versys 650 sebagai antara daya penarik utama dari sudut sudut pemilihan.

Dipadankan dengan enjin 649 cc, Parallel-Twin, DOHC, rasanya tak perlu mengulas lanjut mengenai keupayaan trenkuasa yang menghasilkan kuasa setinggi 63 Hp pada 8,700 rpm dan tork 58.3 Nm pada 7,300 rpm ini.

Dalam bahasa mudah, ia adalah enjin yang terbukti boleh dipercayai atau dalam bahasa Inggeris 'Reliable', tidak mendatangkan banyak pening kepala, tahan lasak sekalipun dilenjan.

Dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual, kehadiran sistem klac 'Slipper' memang membantu dan menariknya, rasa bahang panas daripada enjin itu tidak lagi begitu ketara dengan rekaan terbaharu ini. Dan rasanya tak perlu juga untuk mengulas dari sudut getaran enjin kerana segala-galanya ketika ini boleh dikatakan minimum.

Tunggangan (5 Bintang)

Sebagai model yang boleh dianggap sudah 'matang', kualiti tunggangan Versys 650 juga antara daya tarikan terutama kepada peminat motosikal dalam segmen 'ADV/Sport Touring'.

Selepas beberapa kali menjalani evolusi, apa yang boleh dikatakan ia adalah sebuah motosikal yang memiliki keseimbangan yang baik dari sudut berat dan membuatkannya cukup stabil terutama ketika meluncur di lebuh raya.

Seperti rekaannya, tungganggannya diakui mesra penunggang, mudah dikawal - tidak kira anda seorang yang 'otai' atau 'Nubis'.

Tipikal motosikal touring yang hadir dengan posisi tunggangan yang tegak, Versys 650 berupaya melayan selekoh dengan baik. Tetapi seperti biasa, ingat kemampuan diri dan jangan ikut perasaan.

Untuk sesi ujian kali ini, penulis melayan Modenas Versys 650 ini di 'Litar Karak' dan input yang diperoleh memang positif kerana dalam bahasa mudah, ia menjalankan tugasnya dengan baik.

Apa yang boleh dipuji adalah sistem suspensi dengan fork USD dari Showa dengan ciri pelarasan (Rebound, Preload) dan penyerap hentak tunggal (belakang) memang menghasilkan perjalanan tidak terlalu berbuai dan seperti dikatakan lebih awal, masih boleh melayan selekoh dengan baik (memiliki pembonceng).

Sebagai info, ujian dilakukan adalah dengan spesifikasi 'kilang'.

Dari sudut membrek pula, sekalipun dibekalkan dengan cakera berkembar dengan kaliper 2 piston (depan), ia boleh dikatakan mencukupi dengan kemampuan yang dimiliki motosikal ini.

Selain itu, visor angin yang dipadankan kepada motosikal ini memiliki ketinggian 'Standard' yang baik dengan boleh dilaras dengan mudah dan antara kelebihan yang lain adalah kapasiti tangki bahan api yang boleh dianggap besar dalam kelasnya, 21 liter.

Teknologi (3 Bintang)

Seperti dikatakan lebih awal, versi terbaharu Versys 650 datang dengan beberapa pembaharuan dan ia memang sesuatu yang dinanti-nantikan sama seperti penampilannya.

Antara peningkatan yang diberikan Kawasaki terhadap model ini adalah sistem Kawalan Traksi. Dan ia memiliki 2 mod. Selain itu kepada yang 'otai', jangan bimbang kerana ia boleh dinyahaktifkan.

Panel meter TFT berwarna 4.3 inci dengan membuatkan motosikal ini nampak mahal. Ia turut memiliki ciri sambungan ke telefon bimbit.

Apa kurang best?

Dengan ketinggian pelana 845 mm, angka berkenaan mungkin agak menakutkan bagi sesetengah penunggang terutama jika anda memiliki ketinggian bawah 170 cm.

Selain itu, berat sedia ada Modenas Versys 650 yang sekitar 219 kg boleh dikatakan mengganggu prestasi kerana perlu diakui, ia terasa kurang berkuasa ketika penulis melayan laluan dari Gombak, Selangor ke Karak, Pahang bersama pembonceng.

Sekalipun cukup padu untuk perjalanan jarak jauh atau sederhana, tetapi untuk ke pusat bandar yang terkenal dengan kesesakan seperti Kuala Lumpur di waktu puncak, ia mungkin boleh mendatangkan masalah.

Bunyi yang 'kurang garang' tetapi rasanya 'masalah' ini boleh diselesaikan dengan mudah terutama kepada yang berpoket tebal.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, boleh dikatakan yang Modenas Versys 650 bukan saja memiliki segala perkara asas yang diperlukan dalam segmen 'ADV/Sport touring', namun lebih daripada itu.

Lebih menarik, ia mampu melaksanakan segala tugas yang abang besarnya lakukan dan cukup sesuai bagi mereka yang sudah bosan atau tidak lagi mahu bergembira dengan kelajuan atau kuasa yang 'menakutkan'.

Dijual pada harga asas RM 38.4k (Bagi pilihan warna hitam), angka yang diumumkan untuk Versys 650 mungkin kurang mengujakan tatkala kehadirannya dengan lencana Modenas memang dinanti-nantikan.

Begitupun, angka berkenaan sebenarnya masih boleh dilabel berada dalam kategori 'boleh dengar' terutama dibandingkan dengan pencabar lain dalam segmennya di pasaran tempatan (berdasarkan kekuatan dan kaliber jenama) dan untuk itu, ia masih boleh dikatakan sebagai penantian yang berbaloi.