REVIU Modenas Vulcan S: Masih Relevan, Boleh 'Kacau' Jiwa?

REVIU

12/3/20234 min read

KEMUNCULAN semula Vulcan S dengan menggunakan lencana Modenas bagaikan 'menghidup' dan memeriahkan kembali segmen 'Kruiser' aras tengah di pasaran tempatan yang diakui popularitinya sedikit mengendur.

Pernah tiba di pasaran tempatan sebelum ini di bawah pengedaran syarikat berbeza, versi terbaharu Vulcan S dikenali sebagai Modenas Vulcan S ABS dan seperti namanya, ia dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Menjadi model pertama 650 cc Kawasaki yang dijenamakan semula sebagai Modenas hasil kerjasama kedua-dua syarikat berkenaan, pasti ada sesuatu yang istimewa untuk Modenas Vulcan S ABS.

Jadi adakah ia masih relevan dan masih mampu memberi keterujaan? Jom layan reviu kami.

Rekaan (3 Bintang)

Sekalipun sudah agak 'otai' di pasaran, rekaan Modenas Vulcan S ABS tak dinafikan masih berjaya menepati kehendak peminat 'genre' motosikal gaya santai 'easy rider' ini.

Apa yang pasti, ia bukan saja berdasarkan pandangan penulis, namun menurut deretan reviu dari dalam dan luar negara dan menariknya, reka bentuknya yang 'selamat' itu dan rasanya tak perlu diulas dengan mendalam kerana ia masih belum nampak membosankan.

Bagi penulis, rekaan cermin sisi yang berbentuk petak memang cukup serasi dengan motosikal ini tetapi secara peribadi, bentuk lampu depannya yang dikatakan mengambil inspirasi 'daun' itu agak sedikit keterlaluan meskipun pada satu ketika ia mungkin nampak mengujakan.

Dan buktinya, Kawasaki Eliminator terbaharu kekal dengan penggunaan lampu bulat 'normal' dan ia memang tindakan yang tepat.

Untuk unit tunggang uji yang diberikan kepada MotoDotMy.com, ia sudah pun dilengkapkan dengan 'top box' dan 'pannier' daripada Givi oleh Modenas. Dari sudut estetika, ia memang meningkatkan darjah 'kehenseman' motosikal berkenaan selain lebih praktikal terutama untuk penggemar aktiviti penjelajahan.

Tetapi sedikit mengecewakan, unit 'Top Box' yang dipadankan itu memang 'menyempitkan' ruang pembonceng, terutama untuk saiz badan seperti penulis.

Trenkuasa (4.5 bintang)

Susah nak menafikan antara 'kekuatan' Vulcan S ABS datang daripada trenkuasanya.

Berkongsi enjin yang sama dengan beberapa model seperti Versys 650, Z650, tiada apa yang nak diadukan mengenai enjin bersesaran 649 cc, 2 Silinder ini lebih-lebih lagi apabila ia digandingkan dengan motosikal dalam segmen 'Kruiser' yang kebiasaan ditunggang santai.

Jadi, tak salah langsung untuk menyatakan ia antara 'Kruiser' aras tengah paling 'bertenaga' dalam kelasnya (59.9 Hp pada 7,500 rpm dan tork 62.4 Nm pada 6,600 rpm) bukan saja di pasaran Malaysia, namun termasuk global ketika ini.

Tipikal trenkuasa 650 cc Kawasaki yang terkenal lasak, tiada masalah untuk 'mengerah' kuasa yang ada pada motosikal ini termasuk secara agresif jika diperlukan.

Tetapi jangan diharapkan ia mampu 'dihayun' seperti Ninja 650 atau Z650, ia mempunyai had tersendiri namun berdasarkan peribadi, ia mencukupi dan masih memberikan rasa teruja dan rasa 'sporty'.

Di bahagian transmisi, penukaran gear motosikal yang menggunakan sistem 6 kelajuan klac manual ini memang 'smooth', mudah dan tiada apa yang nak diadukan.

Tunggangan (4 bintang)

Tipikal motosikal dalam segmen 'Kruiser', gaya tunggangan Modenas Vulcan S ABS sememangnya 'santai' tetapi apa yang menyeronokkan, ia juga 'Sporty' berikutan kuasa yang dihamburkan.

Dengan kuasa yang dimiliki motosikal ini, ia bukan saja cukup 'syok' dilayan ketika melakukan penjelajahan di lebuh raya kerana kestabilannya, malah boleh dibawa 'meleper'.

Ketika pertama kali menunggang motosikal ini, penulis tidak merasa payah untuk membiasakan diri sekalipun agak sedikit kekok. Jadi, sekalipun anda seorang 'Nubis' dalam segmen 'easy rider' yang memerlukan kaki melunjur ke depan, tak sukar untuk mengendalikan motosikal ini (Percayalah).

Dan kepada yang tak tahu, Modenas Vulcan S ABS turut datang dengan ciri 'Ergo-Fit' yang memberikan pemilik ciri tetapan dari sudut kedudukan pelana dan peg kaki untuk keselesaan tunggangan yang maksimum.

Untuk persoalan sama ada ia sesuai untuk penggunaan sehari-hari ke tempat kerja, menurut ujian yang dibuat penulis, ia tidak mempunyai masalah untuk melakukan tugas berkenaan.

Berikutan kedudukan 'bar' hendalnya yang tidak begitu tinggi, tidak sukar untuk 'mencilok' menggunakan motosikal ini ketika laluan sesak. Dan sekalipun memiliki berat lebih 200 kg, ia juga tak terasa begitu berat ketika ditunggang.

Di bahagian suspensi, penulis dapat merasakan tetapan secara 'kilang' agak lembut. Jadi untuk penunggang berbadan besar, ia mungkin sedikit 'menakutkan' terutama jika membawa pembonceng.

Sebagai motosikal yang 'berat', sistem henti Modenas Vulcan S ABS boleh dikatakan mencukupi dan menampung kuasa yang dimiliki motosikal ini dan keyakinan itu ditambah menerusi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) yang tersedia secara standard.

Elektronik (3 bintang)

Ringkas dan tak memeningkan. Itu ayat tepat untuk menggambarkan sistem elektronik Modenas Vulcan S ABS.

Seperti motosikal 'Kruiser' lain dalam segmennya, Modenas Vulcan S ABS tidak dipadankan dengan pilihan mod kuasa atau pelbagai ciri bantuan elektronik canggih lain namun menariknya, ia sudah memiliki sistem Kawalan Traksi.

Di bahagian panel meter, ia masih menggunakan panel gabungan analog, digital LCD dan ia memang menyerlahkan rasa 'retro klasik' untuk motosikal ini yang mudah dilihat.

Mudah untuk menyatakan, tiada apa yang 'fancy' dari sudut elektronik tetapi ia menjalankan tugasnya dengan baik dan percayalah, motosikal seperti ini memang tak akan memberikan banyak masalah kepada pemiliknya.

Kesimpulan

Tiba dengan nama Modenas, seperti dijangka ramai yang bersikap 'skeptikal' terhadap Vulcan S ABS lebih-lebih lagi ia model pertama bersesaran 650 cc menggunakan jenama tempatan itu.

Tetapi percayalah, pandangan itu akan cepat 'dihakis' sejurus anda menunggang motosikal ini kerana ia sememangnya sebuah 'Kawasaki' dan memiliki kualiti yang diharapkan.

Kepada yang meminati motosikal bergaya 'Kruiser' seperti jenama HD, Vulcan S ABS turut diyakini boleh menjadi motosikal permulaan yang baik untuk anda berlatih sebelum 'naik pangkat' namun percayalah, mungkin anda akan 'tersekat' lama dengan motosikal ini.

Dan sekalipun pasaran tempatan kembali dimeriahkan dengan beberapa pesaing dalam segmen sama, tiada sebarang keraguan Modenas Vulcan S ABS masih mampu mampu memberikan rasa seronok kepada pemiliknya terutama jika anda peminat motosikal bergaya 'Kruiser'.