REVIU Moto Guzzi V100 Mandello S: Definisi Sebenar Kualiti Setanding Status?
REVIU
10/28/20235 min read
SATU kebanggaan apabila Moto Guzzi Malaysia menerusi Piaggio Malaysia diberi penghormatan menjadi destinasi pertama 'mendaratnya' model paling premium jenama ikonik Itali itu, Moto Guzzi V100 Mandello/S (2023) di rantau Asia Pasifik.
Seperti namanya yang memiliki angka 100, Moto Guzzi V100 Mandello/S diketahui dihasilkan sempena keraian ulang tahun ke-100 jenama itu.
Dan seperti juga semua boleh jangka, motosikal yang berada dalam segmen 'Sport-tourer' ini adalah model paling canggih, sofistikated pernah dihasilkan Moto Guzzi malah didakwa dipadankan dengan teknologi yang tak dimiliki mana-mana model lain di dunia.
Turut hadir ketika pelancarannya di MotoPlex PJ yang cukup menarik, kami di MotoDotMy.com diberi peluang untuk menguji Moto Guzzi V100 Mandello dan lebih menarik, varian tertinggi 'S' selama beberapa hari.
Jadi, adakah motosikal yang memiliki tanda harga RM 117,900 (asas - harga terkini) tak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan, isuran ini 'sepadu' seperti dilabelkan? Jom layan reviu kami.
Sebelum terlupa, Moto Guzzi V100 Mandello varian Standard dijual pada angka RM 99,900 (asas).
Rekaan (3 Bintang)
Hakikat yang sedikit perit diakui, rekaan Moto Guzzi V100 Mandello tak kira varian Standard atau S mungkin pada pendapat sesetengah orang (Ditanya) agak kurang 'Umph'.
Ia boleh difahami kerana Moto Guzzi diketahui memiliki 'acuan' mereka tersendiri termasuk dari sudut rekaan yang unik selain keberadaan mereka di Malaysia boleh dikatakan tak begitu menonjol.
Begitupun bagi kami di Motodotmy.com, rekaan 'tradisi' yang dipadankan kepada Moto Guzzi V100 Mandello memang menonjolkan keistimewaan Moto Guzzi itu tersendiri dan tak salah dikatakan menarik.
Lihat sekali imbas ataupun secara terperinci, ia memang tak nampak seperti motosikal yang direka secara sambil lewa malah boleh disifatkan nampak mahal dan memiliki ciri eksklusif yang tersendiri.
Kepada yang tak tahu, Moto Guzzi V100 Mandello mendapat inspirasi daripada jet pejuang Itali dan ia dapat dilihat dengan jelas terutama di bahagian lampu belakang. Jadi bagi peminat tegar Moto Guzzi (Ya, ada di Malaysia), rekaan itulah yang membuatkan mereka terpikat dengan jenama Itali ini.
Dari sudut kosmetik, penulis memang tidak bermasalah dengan pilihan warna untuk varian S yang nampak premium namun bagi varian Standard, perlu diakui ia sedikit kurang menonjol.
Trenkuasa (5 Bintang)
Dijana enjin 1,042 cc, V-Twin 90 Darjah, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, DOHC dan digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual, trenkuasa yang dimiliki oleh Moto Guzzi V100 Mandello S boleh diagak memang berkuasa.
Dengan angka kuasa yang dihamburkan 115 Hp pada 8,700 rpm dan tork 105 Nm pada 6,750 rpm, kuasa yang dimiliki motosikal ini memang 'sedap' dan setaraf model yang bersaing dalam segmen yang sama.
Dan seperti kebanyakan motosikal 'high end' lain, ia tidak menggunakan rantai namun dipacu menggunakan sistem 'shaft'.
Sekalipun ia adalah motosikal pertama Moto Guzzi yang dipadankan dengan enjin V-Twin Penyejuk Cecair, trenkuasa motosikal ini memang lancar malah tiada gegaran yang terlalu menjengkelkan terasa.
Malah sedikit mengagumkan, rasa bahang panas yang datang daripada enjin ketika motosikal berada dalam keadaan 'idle' juga tidak begitu terasa.
Selain itu, penulis juga tiada sebarang aduan dari sudut transmisi dengan sistem 'Quickshifter' juga berfungsi seperti diharapkan (ketika ujian dijalankan).
Berbalik kepada kuasa yang dihamburkan, Moto Guzzi V100 Mandello S diakui boleh memberi 'ketakutan' terutama kepada golongan 'Nubis' namun ia sebenarnya boleh dikawal dengan mudah menerusi sistem bantuan tunggangan elektronik yang dipadankan (akan dibahas kemudian).
Dalam bahasa mudah, kuasanya memang mampu memberikan keseronokkan yang diharapkan - tapi seperti kami katakan, ikut kemampuan, bukan tangan.
Tunggangan (4 Bintang)
Sebagai motosikal dalam segmen aras tinggi - Moto Guzzi V100 Mandello S ketika diuji memang kami perlu akui memiliki kualiti tunggangan yang cukup baik atau mungkin tak salah dikatakan cemerlang.
Berada dalam segmen 'Sport touring', melayan motosikal ini terutama di atas lebuh raya memang berupaya memberi rasa syok kepada penulis.
Sekalipun dimensinya boleh dianggap besar selain berat, motosikal ini mampu mengambil selekoh dengan baik (dibantu sistem elektronik dan suspensi) yang dibekalkan dan penulis mengujinya ketika mendaki Bukit Fraser yang terkenal dengan permukaan jalan yang tak 'semenggah'.
Dilabel sebagai motosikal produksi pertama dipadankan dengan 'sayap' aerodinamik 'Adaptive' elektrik, penulis dapat menguji teknologi itu ketika 'mengerah' motosikal ini di laluan yang disifatkan 'makanannya' iaitu lebih raya dan jelas, ia memang dapat menambah kestabilan.
Mengulas posisi tunggangan, postur badan memang menegak dan ditambah dengan pelana yang agak besar dan lembut, ia memang memberikan tunggangan yang santai. Bukan sakadar penunggang, malah input yang diperoleh daripada pembonceng juga serupa.
Agak sedikit menjengkelkan, visor angin yang dipadankan kepada motosikal ini boleh dikatakan 'tak cukup' tatkala ia boleh dilaras secara elektrik.
Mengulas sistem suspensi, motosikal ini dipadankan dengan semi aktif Ohlins Smart EC 2.0 dengan ciri pelarasan penuh (depan dan belakang) yang kebiasaan dipadankan dengan motosikal 'high-end' memang memberikan rasa 'syok'.
Dua tetapan dan bagi penulis, ia sudah mencukupi kerana jika tidak, anda boleh melakukan pelarasan secara manual. Bagi penulis (yang melakukan ujian dengan spesifikasi stok), menunggang bersama pembonceng mendatangkan rasa lebih yakin.
Pilihan warna
Moto Guzzi V100 Mandello Standard - Bianco Polare, Rosso Magma
Moto Guzzi V100 Mandello S - Grigio Avanguardia
Elektronik (4 bintang)
Andai melakukan perincian, sistem elektronik yang 'harus ada' pada motosikal 'high end' boleh dikatakan hampir semuanya dimiliki Moto Guzzi V100 Mandello S. (Tiada ciri Kawalan Jelajah Adaptif Radar).
Mengggunakan sistem pendikit 'Ride-by-wire', Moto Guzzi V100 Mandello S dipadankan degan 'ECU Marelli 11MP' dengan sistem paksi 'IMU six axis'.
Hasilnya, ia memiliki empat mod tunggangan Turismo (Tour), Pioggia (Rain), Strada (Street) dan Sport yang datang dengan pemetaan tersendiri dari sudut Kawalan Traksi, Kawalan Enjin termasuk sistem suspensi (Varian S).
Justeru, tidak sudah untuk mengadaptasi motosikal ini dengan kemahuan atau kemampuan penunggang atau sama ada mahukan tunggangan agresif atau santai.
Seperti dikatakan, sistem suspensi yang dibekalkan Ohlins itu boleh dilaras secara manual tetapi siapa yang mahu lakukannya bukan?
Berada di bawah 'payung' Piaggio Group, apa yang baiknya adalah Moto Guzzi turut dapat menggunakan teknologi yang ada pada satu lagi jenama itu, Aprilia.
Justeru kepada yang biasa dengan jentera Aprilia terutama model-model terkini dan aras tinggi, ia memang nampak hampir sama termasuk di bahagian panel meter dan suis yang digunakan.
Antaranya 'persamaan' itu adalah kluster instrumen TFT-LCD lima inci yang lengkap dengan sambungan ke telefon bombit Moto Guzzi MIA, butang di bahagian bar hendal dan sebagainya. Dan ia bukan sesuatu yang buruk, namun menambah keyakinan sekalipun ada yang mempertikai kualiti material yang digunakan.
Selain itu, bergelar motosikal produksi pertama dipadankan dengan 'sayap' aerodinamik 'Adaptive' elektrik perlu diakui bukan saja menambah keyakinan penunggang, malah dapat memberikan rasa unik kepada pemilik.
Dan sekali lagi kami ingin ingatkan, secanggih mana motosikal itu, apa yang penting adalah jangan terlalu berani dan sedar kemampuan diri.
Kesimpulan
Tipikal motosikal dari Itali, apa yang menjadi 'daya penolak' kepada Moto Guzzi V100 Mandello/S (2023) terutama untuk pasaran yang sensitif dengan harga seperti Malaysia pastinya membabitkan angka jualan yang diumumkan.
Pada harga RM RM 117,900 (asas), masih ada banyak penawaran lain terutama dari benua Asia yang lebih berkuasa, mungkin lebih menarik dan lebih 'marhaen'.
Justeru, tak ramai yang berupaya 'menghargai' motosikal ini tetapi bagi kami, ia kini sudah menjadi pepatah 'moden', hanya yang tahu je tahu.