REVIU Suzuki GSX-8S (2023): 'Kelainan', Pembaharuan Yang 'Syok' Dari Suzuki

REVIU

10/15/20234 min read

SUZUKI Malaysia memang cukup yakin dengan kemampuan penawaran terbaharunya dalam segmen 'Naked', Suzuki GSX-8S (2023) untuk dibawa 'berentap' di pasaran yang terbukti persaingannya cukup padat.

Melihat kepada pencabarnya di pasaran tempatan, boleh dikatakan semua jenama 'besar' memiliki 'wakil' tersendiri dalam segmen berkenaan dan apa yang dipertaruhkan memang bukan calang-calang.

Rasmi mendarat di tanah air pada Jun lalu pada harga asas RM 50.8k, kehadiran Suzuki GSX-8S (2023) dan 'Saudaranya' Suzuki V-Strom 800DE (2023) memang boleh dikatakan cukup pantas kerana ia baru saja membuat kemunculan global pada November 2022 di Itali.

Baru-baru ini, kami di MotoDotMy diberi peluang oleh Suzuki Malaysia untuk menguji Suzuki GSX-8S (2023) selama beberapa hari. Jadi, nak tahu apa pandangan kami, jom!

Rekaan (4 Bintang)

Terus terang, pandangan awal kepada Suzuki GSX-8S (2023) menerusi gambar ketika pelancarannya di EICMA 2022 memang sedikit kurang mengujakan tetapi apabila melihatnya secara berdepan, anggapan itu meleset.

Dan pastinya, ramai yang menjangka Suzuki akan melakukan tindakan 'sedrastik' dan seberani ini. Apa tidaknya, jika melihat kepada rekaan model-model 'Naked' terdahulu Suzuki, Suzuki GSX-8S (2023) seperti hampir langsung tiada kesinambungan.

Tetapi tipikal 'Naked', Suzuki GSX-8S masih tampil dengan perwatakan 'Streetfighter' yang dipenuhi dengan panel tajam, terutama di bahagian depan (fender) dan apa yang dilakukan Suzuki memang satu inovasi.

Tampil moden, begitupun ia masih memiliki ciri dan perwatakan yang ganas, namun ia tidak keterlaluan. Menggunakan rekaan lampu Suzuki ala GSX-1000S, begitupun rekaan lampu hadapan memang satu kelainan (Bagaikan Ultraman Jahat).

Pilihan warna dan corak grafik juga menarik dan boleh meningkatkan rasa minat. Unit tunggang uji yang kami peroleh adalah Pearl Tech White namun dari sudut peribadi, Pearl Cosmic Blue mungkin paling menyerlah.

Trenkuasa (4 Bintang)

Enjin bersesaran 776 cc, 2 Silinder Parallel-Twin, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang dipadankan kepada Suzuki GSX-8S terus membuktikan kemampuan Suzuki untuk berevolusi.

Tampil dengan teknologi yang dipatenkan Suzuki sendiri - penggunaan 270º 'Crankshaft' dengan 'Piston' 'Cross Balanced' 90º, ia memberikan motosikal 'Naked' ini karakter baharu yang perlu diakui menarik - kurang gegar dan masih 'punchy'.

Menghasilkan kuasa 81.7 Hp pada 8,500 rpm dan tork 78 Nm pada 6,800 rpm, angka yang diperoleh diakui tidak begitu tinggi namun perlu diingat, Suzuki menghasilkan motosikal ini dengan hasrat tidak mahu ia hanya berpaksikan kepada kuasa semata-mata.

Memulas terotel Suzuki GSX-8S, sekalipun 'kuasa' GSX-8S ini dapat dirasakan tiba sedikit lewat pada 3,500 rpm, namun apa yang menarik adalah karakter 'Naked' itu masih ada dan kuasa yang dihamburkan memang 'sedap' dalam segmennya.

Dan digandingkan dengan sistem transmisi yang lancar dibantu Sistem Bantuan Klac Suzuki (SCAS) dan ciri premium 'Quick Shifter' dwi-hala, ia memang berupaya memberikan 'senyuman' kepada penunggangnya dan boleh dipuji.

Tunggangan (4 Bintang)

Jika berpandukan kepada spesifikasi Suzuki GSX-8S, Suzuki boleh dikatakan 'tak kedekut' malah pembaharuan dan apa yang dipadankan memang boleh memberikan pengalaman tunggangan yang dinamik.

Menggunakan kerangka jenis 'Trellis' dengan 'Swingarm' aluminium serba baharu, fork USD jenama KYB (Tiada ciri pelarasan) dan penyerap hentak tunggal (Pelarasan preload), perlu diakui yang set itu mampu memberikan tunggangan berkualiti. (Sekali lagi, jangan terlalu mengharapkan 'bulan bintang').

Memiliki berat melebihi 200 kg, Suzuki GSX-8S memang bukan jentera yang ringan namun apa yang baiknya, ia cukup stabil di atas jalan raya. Memang dicipta untuk kegunaan dua alam dan bukan hanya membabitkan kuasa semata-mata - ujian tunggangan untuk kegunaan harian memang tidak mendatangkan masalah jika anda ingin melakukannya terutama di KL.

Dan dalam ujian 'kasar' yang turut membabitkan 'Trek Karak', informasi yang diperoleh cukup meyakinkan dan kepada yang mempunyai 'ilmu meleper'. ia diyakini mampu mengambil selekoh dengan cukup baik.

Jadi bagi kami, penunggang berpengalaman dan 'otai' berkemungkinan akan lebih menikmati jentera ini.

Pilihan warna

  • Pearl Cosmic Blue

  • Pearl Tech White

  • Metallic Matte Black/Glass Sparkle Black

Mengulas posisi tunggangan, ergonomik Suzuki GSX-8S memang tipikal 'Naked' yang sedikit menegak. Bagi kami, ia cukup 'ngam' dan boleh diagak dan maklumat yang diperoleh daripada pembonceng juga tidak mengecewakan.

Mengulas sistem brek yang dibekalkan, kaliper Nissin (4 Piston) radial (depan) dan tetapan brek belakang yang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) boleh dikatakan cukup baik dan dapat memberi keyakinan.

Penggunaan minyak juga standard seperti motosikal moden kerana jika mahu jimat, jaga 'kegatalan' tangan kanan anda kerana percayalah, kelajuan maksimumnya memang boleh menakutkan penunggang 'nubis'.

Dan dengan segala set yang dipadankan, boleh dikatakan yang Suzuki GSX-8S (2023) ini seperti motosikal moden lain memang boleh memberikan keseronokkan, tak kira untuk tunggangan harian atau 'riadah' hujung minggu.

Teknologi (4 Bintang)

Untuk tak membenarkan Suzuki GSX-8S dilabel 'kuda liar' yang sukar dikawal, ia dipadankan dengan sistem bantuan tunggangan elektronik terkini dari Suzuki dan kami memang ingin memujinya.

Menggunakan sistem 'Ride by Wire', Suzuki GSX-8S dilengkapi dengan ciri canggih 'Suzuki Intelligent Ride System' (SIRS) yang merangkumi sistem seperti Kawalan Traksi (3 tetapan) dan Sistem Bantuan RPM Rendah (LRA).

Selain Kawalan Traksi yang boleh dinyah aktif, Suzuki turut membekalkan tiga mod tunggangan (SDMC) kepada Suzuki GSX-8S iaitu A (Active), B (Basic) dan C (Comfort) yang masing-masing mempunyai pemetaan tersendiri mengikut keupayaan penunggang.

Selain itu dan seperti dinyatakan lebih awal, ciri seperti 'Quickshifter' dwi-hala turut melengkapkan ciri elektronik kepada motosikal ini.

Dan menariknya menerusi sistem bantuan tunggangan elektronik ini, bukan saja penunggang 'otai' mampu untuk menikmati Suzuki GSX-8S, namun penunggang dengan label 'nubis' seperti kami. Justeru apa yang boleh dikatakan, pakej elektronik yang dibekalkan kepada motosikal ini memang boleh dipuji dan berupaya menjadi daya tarikan kepada pembeli.

Ada lagi yang tak best dan best?

Kepada penunggang yang dikatakan lahir dalam era moden atau 'sunat laser', antara sistem bantuan tunggangan elektronik yang diharapkan pastinya ciri Kawalan Jelajah (Cruise control) dan sedikit mengecewakan, ia tidak ada pada Suzuki GSX-8S.

Sistem suspensi (Fork USD) yang tak boleh laras dengan warna 'Silver' juga sedikit menjengkelkan tetapi untuk julat harga dan kaliber yang dimiliki jenama Suzuki, ia memang boleh diagak daripada awal.

Susulan tidak menggunakan sistem suspensi boleh laras, hentakan boleh dikatakan agak keras. Tetapi apa yang baiknya, ia cukup 'handal' dan stabil ketika di selekoh.

Antara yang menarik juga adalah panel meter digital LCD TFT 5 inci berwarna yang dipadankan tidak begitu rumit untuk dikendalikan dan mudah untuk melakukan tetapan.

Kesimpulan

Diperkenalkan pada harga asas RM 50k, apa yang kami tidak boleh nafikan adalah Suzuki GSX-8S layak diklasifikasikan pilihan berbaloi berdasarkan beberapa faktor antaranya kuasa jenama dan spesifikasi yang dipadankan.

Tak dinafikan ada yang melabel angka itu agak mahal tetapi jika dibuat perbandingan (terutama model dari Eropah), perbezaannya agak jauh dengan penambahan spesifikasi yang mungkin tak begitu banyak.

Apa yang boleh dikatakan, Suzuki GSX-8S tak nampak murah, padat spesifikasi menarik dan sekalipun ada kekurangan, ia masih boleh ditakrifkan sebagai sebuah model yang lengkap.

Malah ada media, termasuk luar negara meletakkan aras tangga cukup tinggi dengan menyatakan Suzuki GSX8S sebagai motosikal 'Naked' terbaik pada 2023. Dan kami di MotoDotMy tiada bangkangan - setakat ini.