REVIU Triumph Tiger Sport 660: Rekaan Mengancam, Prestasi Padu Dalam Kelasnya!
REVIU
1/6/20243 min read
'JAGOAN' syarikat pengeluar motosikal UK, Triumph dalam segmen 'Sport Touring', Triumph Tiger Sport 660 membuat debut global beberapa tahun lalu dengan kehadirannya di pasaran Malaysia memang antara yang dinanti-nantikan.
Mengambil nama 'Tiger' yang terkenal sebagai motosikal bergaya 'Adventure' popular jenama itu, Triumph Tiger Sport 660 dihasilkan dengan karakter sebuah motosikal yang mampu dibawa ke laluan lasak ringan namun dalam masa sama, sporty.
Pertama kali diintip pada 2021 sebelum membuat kemunculan rasmi pada tahun berikutnya, Triumph Tiger Sport 660 sebenarnya tidak menunggu lama untuk tiba di Malaysia.
Pernah 'Tersekat' seketika, Triumph Malaysia begitupun diberikan 'nafas baharu' tahun lalu selepas diletakkan di bawah pengurusan Didi Group dengan Triumph Tiger Sport 660 antara model yang mendapat sambutan hangat.
Diberi peluang untuk menguji motosikal ini selama beberapa hari, adakah ia mampu 'memikat' kami di MotoDotmy.com dan menyeronokkan seperti dikata? Jom layan reviu ini.
Rekaan (4 Bintang)
Sekalipun menggunakan nama 'Tiger', rekaan Triumph Tiger Sport 660 begitupun tidak mengambil inspirasi daripada rekaan 'Abang-abang besarnya' seperti Tiger Sport 850, Tiger 900 mahupun Tiger 1200 sebaliknya memiliki penampilan dan gaya tersendiri.
Reka bentuknya terutamanya di bahagian hadapan lebih berorentasikan sebuah model 'Sports' dengan rekaan tajam yang dilihat lebih mengujakan terutama buat penunggang muda.
Ia kemudian diadun cukup sempurna dengan gaya motosikal bergaya kembara yang terkenal dengan ketinggian, ruang lega bumi tinggi, jarak antara roda panjang yang membuktikan ia berupaya meredah laluan lasak.
Secara keseluruhan, rekaan Triumph Tiger Sport 660 diakui 'Sedap mata memandang' dan mampu mencuri perhatian penggemar motosikal dalam segmen 'Sport touring' yang popularitinya terus meningkat ketika ini. Dan apa yang lebih penting, ia nampak lebih bergaya apabila dipadankan dengan aksesori seperti 'pannier' dan 'top box'.
Trenkuasa (5 Bintang)
Selain rekaan, perlu diakui yang antara kekuatan Triumph Tiger Sport 660 adalah di bahagian trenkuasanya terutama jika dibandingkan dalam kelasnya.
Jika ada yang merasakan bunyi 4 silinder sebaris terlalu 'hardcore', enjin 660 cc, 3 Silinder Sebaris, 12 Injap, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair yang dipadankan kepada motosikal ini dapat memberi rasa sensasi yang agak sama namun tidak begitu melampau.
Dihasilkan untuk memberikan cabaran dalam segmen kelas pertengahan, ia menghasilkan kuasa di angka 81 PS pada 10,250 rpm dan tork 64 Nm pada 6,250 rpm. Pulasan terotel boleh dikatakan lancar dan kuasa yang diperlukan ada setiap kali terotel dipulas dengan kuasanya 'linear', tidak begitu mengejutkan dan boleh diagak.
Pada pandangan kami, kuasa yang dihasilkan trenkuasa motosikal ini boleh dikatakan mencukupi sekalipun anda seorang 'otai' dan pada masa yang sama tidak memberikan ketakutan kepada penunggang baharu.
Dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual, ia juga lengkap dengan sistem klac assist/slipper dan sekalipun tiada 'Quickshifter', ia bukan satu masalah.
Apa yang menarik, dengan penggunaan enjin tiga silinder, ia memang menghasilkan bunyi yang boleh dikatakan 'sedap' didengar dan memberi sensasi sebagai sebuah motosikal berkuasa tinggi.
Tunggangan (4 Bintang)
Sebagai sebuah model 'Sport Touring', apa yang perlu diakui adalah karakter Triumph Tiger Sport 660 yang memang sedap dilayan di lebuh raya terutama untuk perjalanan jarak jauh atau kembara.
Dan hasil gabungan 'Sport' dan 'Touring', posisi tunggangan motosikal ini sekalipun menegak namun tidak terlalu tegak seperti Tiger 900. Jadi dengan ketinggian pelana yang tak begitu tinggi serta kedudukan bar hendal yang lebih rendah dan santai, ia memberikan ergonomik yang baik.
Selain padu di lebuh raya, Triumph Tiger Sport 669 juga cukup menyeronokkan untuk dibawa melayan selekoh dengan ujian yang dilakukan untuk menaiki kawasan berbukit seperti di Lenggeng, Negeri Sembilan dapat memberikan senyuman.
Berada di atas pelana motosikal ini dalam jangka masa yang lama juga tidak begitu menyiksakan. Ia memiliki saiz pelana yang luas dengan ketebalan yang baik. Kehadiran visor angin yang tinggi memang amat dialu-alukan terutama ketika mahu melakukan aktiviti penjelajahan.
Dari sudut suspensi, fork USD yang dibekalkan boleh dikatakan sedikit lembut. Begitupun ia bukan satu masalah dan ia masih menyerap hentakan permukaan jalan raya tidak rata dengan baik dan tetap berupaya memberikan keyakinan terutama ketika mengambil selekoh.
Sistem brek yang dibekalkan cakera berkembar dengan kaliper Nissin depan dan belakang mencukupi terutama untuk keliber seperti Triumph Tiger Sport 660. Sebagai info dan seperti biasa, ujian yang kami jalankan ketika motosikal masih dalam spesifikasi standard 'kilang'.
Teknologi (3 Bintang)
Sebagai model terbaharu yang ditawarkan Triumph, ia turut dilengkapi dengan pelbagai teknologi seperti sistem Ride-by-Wire. Begitupun perlu diakui, ia agak asas namun boleh diagak berpandukan kepada kalibernya.
Memiliki mod tunggangan (2 mod - Rain/Road), ia memang berguna terutama dengan keadaan cuaca di Malaysia dan sistem Kawalan Traksi yang dipadankan kepada motosikal ini boleh dinyahaktifkan.
Bagi penulis, ketiadaan ciri seperti Kawalan Jalajah memang sedikit mengecewakan tapi ia boleh dijangka dan pakej yang dimilikinya boleh dikatakan mencukupi dan tak memeningkan kepala serta masih berupaya memberikan keseronokan.
Dan ia memang sesuatu yang amat dialu-alukan terutama kepada mereka yang baru saja berjinak-jinak dalam segmen motosikal enjin berkapasiti sederhana atau tinggi.
Kesimpulan
Secara peribadi, boleh dikatakan yang Triumph memang melakukan 'kerja rumah' yang bertaraf cukup baik sebelum menghasilkan Triumph Tiger Sport 660.
Dibandingkan dengan harga yang ditawarkan serta spesifikasi yang dimiliki, tiada pujian begitu menggunung tersedia namun percayalah, ia memiliki serta kekuatan dan karaker unik yang tersendiri.
Kami di MotoDotMy.com tidak mahu membandingkannnya dengan jenama lain dalam segmen yang hampir sama namun boleh dikatakan, Triumph Tiger Sport 660 antara yang terbaik dalam kelasnya di pasaran ketika ini dan mampu memberi kepuasan terutama kepada pembeli yang tepat.
Sebelum terlupa, Triumph Tiger Sport 660 dijual pada RM 43,900 (asas) tanpa yuran pendaftaran, cukai jalan, insurans.