REVIU Yamaha XMax 250 (2023): Kehadiran Dinanti, Mampukah Sambung Legasi?
REVIUTERKINI
12/24/20234 min read
SEPERTI dijangka, Yamaha Motor Malaysia memang tak mampu berlengah untuk membawa masuk versi terbaharu skuter maxinya yang boleh dilabel 'maha' popular, Yamaha XMax 250 sejurus ia mendarat di rantau ini.
Mengikuti pelancarannya di peringkat global pada Oktober 2022, Yamaha XMax 250 serba baharu membuat kemunculan di negara seberang hanya sebulan selepas itu dan kehadirannya di Malaysia berlaku pada Julai tahun ini.
Dan seperti biasa, hanya satu varian diperkenalkan di Malaysia dan baiknya, ia adalah varian tertinggi yang lengkap dengan pelbagai ciri terkini dan 'jajan' menarik termasuk ciri navigasi.
Tiba pada harga asas RM 23,998, sekalipun agak tinggi, angka yang diperkenalkan sebenarnya sedikit mengejutkan terutama dengan populariti dimiliki model dengan nama XMax itu di sini.
Ia dianggap mengejutkan kerana versi terdahulu XMax masih boleh dijual pada harga atas RM 20k dalam kondisi terpakai yang membuktikan keutuhan jenama dan model berkenaan.
Diberi peluang untuk menguji skuter berkenaan oleh Hong Leong Yamaha Motor, ini adalah reviu daripada kami di MotoDotMy.com. Jom.
Rekaan (5 Bintang)
Susah nak menafikan rekaan yang bertemakan 'Jahat' adalah daya menarik utama Yamaha XMax sejak dari versi 1 (V1) hinggalah versi terbaharu (kita sebut sebagai XMax V2).
Untuk XMax V2, segala panel badan, lampu tampil dengan rekaan serba baharu dan menariknya, ia kini lebih bersegi dan bercirikan 'X' terutama lampu depan dan belakang.
Turut menarik adalah posisi lampu signal depan yang diubah daripada di panel sisi depan bawah yang dinaikkan ke bahagian atas bersebelahan visor angin.
Seperti biasa, ada yang menggemari segala perubahan yang dibuat ini dan ada yang tidak dan menganggap rekaan XMax V1 lebih menarik dan gagah.
Tetapi bagi kami, perubahan rekaan untuk XMax V2 memang ditunggu-tunggu dan yang lebih penting, ia dijangka mampu mengekalkan status serta kekuatan XMax.
Tipikal model buatan Jepun lagi, selain sedap mata memandang, ia turut memiliki kualiti binaan yang baik.
Dan sekalipun beberapa lagi jenama cuba untuk 'melawan', tetapi perlu diakui dengan hati terbuka sukar untuk memenangi 'pertarungan' membabitkan rekaan ini dengan XMax sekalipun sudah bermain dengan harga.
Trenkuasa (3 Bintang)
Seperti yang boleh dijangka, tidak banyak yang boleh diulas membabitkan trenkuasa XMax V2 kerana ia masih dipadankan dengan trenkuasa yang sama dengan XMax V1.
Begitupun perlu diakui, ia bukanlah bukan sesuatu yang teruk dan tipikal model daripada pengeluar Jepun, boleh dikatakan cukup baik, lancar , berkualiti dan tiada aduan 'major' mengenainya.
Jadi sekalipun didakwa kuasa yang dihamburkan kurang 'upmh' dan dianggap 'biasa-biasa', ia begitupun sudah mencukupi untuk menjalankan 'tugasnya' termasuk aktiviti membabitkan hobi tanpa mengambil pusing segala perbandingan.
Apapun secara peribadi, untuk skuter dengan kaliber dan dijual pada julat harga seperti ini, Yamaha sepatutnya melakukan sedikit perubahan untuk menambah 'kick' trenkuasanya sekalipun hakikat yang perlu diakui, pengeluar itu sendiri jelas tidak kisah mengenainya.
Tunggangan (4 Bintang)
Untuk berlaku jujur, 'kesedapan' tunggangan terutama spesifikasi 'kilang' bukanlah kekuatan Yamaha XMax dan ia perlu diakui sejak XMax V1 lagi dan menariknya, pemiliknya seakan tidak kisah.
Jika dahulu banyak rungutan mengenai kualiti tunggangan Yamaha XMax V1 terutama ketika mengambil selekoh (didakwa berbuai teruk), kekurangan itu rasanya berjaya diperbaiki oleh Yamaha dan menariknya dengan cukup baik.
Mengujinya beberapa kali, XMax V2 perlu diakui mampu mampu menjalankan tugas berkenaan dengan lebih baik. Sekalipun tidak nampak perbezaan dari sudut visual, tetapi Yamaha mungkin ada melakukan talaan baharu terhadap suspensinya (depan dan belakang) bagi mendapat kualiti yang diinginkan.
Teknologi (4 Bintang)
Ketika Yamaha memperkenalkan XMax V2, antara 'kunci jualan' mereka adalah perubahan di bahagian panel meter yang boleh dianggap sebagai 'major'.
Dan menariknya, mereka melakukannya dengan betul dan bukan hanya sekadar gimik dengan ciri sambungan telefon, peranti bualan termasuk ciri navigasi yang boleh dianggap komprehensif.
Selain panel meter utama, turut tersedia adalah panel meter digital LCD yang lebih kecil yang memaparkan pelbagai maklumat asas.
Begitupun, sistem sambungan ke telefon bimbit mungkin sedikit leceh kerana anda perlu memuatnaik dua aplikasi berbeza untuk mendapatkan manfaat penuh. Di Malaysia, ciri navigasi Garmin tidak datang secara percuma untuk XMax namun jangan bimbang, ada cara lain untuk anda mendapatkan ciri navigasi secara percuma.
Seperti XMax V1, XMax V2 turut datang dengan sistem Kunci Pintar dan bagi pendapat kami, ia berfungsi dengan cukup baik, responsif dan mungkin terbaik dalam kelasnya.
Selain itu, rungutan lain terutama di bahagian pelana juga rasanya sudah 'diselesaikan' oleh Yamaha kerana pelananya jelas lebih lembut dan rasa berkualiti.
Dari sudut sistem brek, apa yang dibekalkan kepada XMax V2 (Cakera tunggal depan/belakang) termasuk dilengkapi dengan Sistem Brek Anti-Kunci mencukupi dan menjalankan tugasnya dengan baik ditambah dengan sistem Kawalan Traksi.
Tiada aduan juga mengenai tunggangan di waktu malam dengan sistem lampu LED yang dibekalkan boleh dikatakan cukup terang dengan kedudukan suis juga berada cukup mudah untuk ditekan dan tidak berada di posisi yang pelik.
Apa kurang 'Umph'?
Selain trenkuasa yang tidak 'berubah', antara perubahan yang diharapkan terhadap XMax V2 yang tak kesampaian adalah di bahagian visor angin yang masih lagi dengan ciri pelarasan manual.
Sekalipun ciri visor elektrik mungkin terlalu ekstrem untuk skuter dengan kaliber berkenaan dan dari Jepun, ketiadaan port pengecas USB namun soket 12V mungkin agak pelik.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, Yamaha XMax V2 mungkin masih belum boleh dianggap terbaik dalam kelasnya sekalipun pelbagai pembaharuan diberikan.
Dan sekalipun bukan yang terbaik, hakikat yang perlu diakui adalah XMax, tidak kira V1 atau lebih-lebih lagi V2 adalah skuter maxi yang cukup lengkap dan mampu melakukan tugas-tugasnya dengan cukup baik.
Selain kacak dijadikan 'Kuda' tunggangan ke tempat kerja (tak kira jarak jauh atau dekat), ia juga 'kacak' untuk dilenjan melakukan aktiviti jelajah, tidak kira konvoi jarak jauh atau dekat, solo, berdua atau berkumpulan.
Jadi apa juga kritikan yang diberikan, dan seperti model-model hangat Yamaha yang lain, ia dijangka akan mengekalkan statusnya sebagai 'Raja' dalam kelasnya.