REVIU Yamaha Y16ZY ABS: Naik Taraf Yang Ditunggu-Tunggu?
REVIU
5/19/20242 min read
KURANG lima bulan. Itu tempoh yang diperlukan oleh Yamaha Motor Malaysia untuk memperkenalkan versi kemas kini model kapcai supernya, Yamaha Y16ZR ABS di pasaran tempatan mengikuti debut globalnya di Vietnam.
Seperti diketahui, naik taraf yang dijalankan terhadap kapcai berstatus 'Super moped' itu bukan saja membabitkan 'kosmetik', namun mekanikal menerusi peningkatan kuasa membrek.
Dan seperti namanya, Yamaha Y16ZR kini lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) saluran tunggal.
Selain itu, ada sedikit perubahan dari sudut penampilan namun tidak begitu ketara dan mungkin tak begitu penting di bahagian lampu depan.
Tidak mahu bercerita lanjut mengenai sudut rekaan atau prestasi model yang dianggap sebagai abang kepada 'YSuku' ini, tumpuan tunggang uji MotoDotMy.com kali ini terletak di bahagian brek menerusi ciri ABS. Jadi jom layan.
Prestasi brek lebih mantap, meyakinkan?
Sekalipun ada yang menyatakan ABS bukanlah satu keperluan buat motosikal berstatus kapcai, tetapi untuk Yamaha Y16ZR khususnya Yamaha Motor Malaysia, ia perlu dilakukan.
Apa tidaknya, hampir kesemua pencabar terdekat kapcai itu kini (Honda RS-X, SYM VF3i) sudah dipadankan dengan sistem berkenaan selaras dengan saranan kerajaan menerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
Di bawah Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP) yang diselia oleh Miros, motosikal yang memiliki ABS akan diberikan penarafan bintang yang tinggi.
Sebelum terlupa, selain ABS, saiz cakera yang dipadankan kepada Yamaha Y16ZR ABS turut datang dengan diameter lebih besar berbanding versi tiada ABS.
Berbalik kepada tunggang uji yang dibuat MotoDotMy, kehadiran ABS kepada Y16ZR diakui memberi perbezaan malah keyakinan penulis terutama ketika membrek tatkala hujan, menunggang dalam keadaan jalan licin atau jalan berpasir memang meningkat.
ABS secara asasnya atau dalam bahasa mudah direka bagi menghalang roda daripada terkunci apabila melakukan brek terutama dilakukan secara mengejut.
Ia berfungsi mengawal tekanan brek sekali gus mengoptimumkan kuasa membrek ketika tuil ditekan dengan kuat. Tanpa situasi 'tergelincir' ketika membrek, kawalan penunggang terhadap motosikal yang ditunggang jelas meningkat.
Dan fakta yang perlu diakui, ia bukan 'sembang kosong', malah sudah dibuktikan dengan kajian.
Selain itu menerusi ABS, jarak henti motosikal yang menggunakan sistem berkenaan menjadi lebih pendek. Dan perkara ini memang penting bagi memberi masa kepada penunggang untuk bertindak terutama ketika kecemasan.
Untuk Malaysia terutama di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur yang memerlukan penunggang mencelah di antara kereta, van, lori treler ketika waktu puncak, apa yang boleh dikatakan adalah kehadiran ABS sememangnya satu keperluan.
Dan tidak dapat dinafikan, mahu atau tidak - ia sekali gus meningkatkan keyakinan penunggang itu sendiri.
Selain itu, antara manfaat lain yang boleh dianggap penting adalah ia turut dapat membantu meningkatkan jangka hayat tayar (penting kepada yang gemar berjimat).
Dan terakhir jika dibuat 'survey' menerusi pilihan, boleh dikatakan hampir semua orang akan memilih motosikal yang memiliki ABS berbanding model yang tidak memiliki sistem berkenaan.
Selain itu, apa yang turut menarik, tiada peningkatan harga besar-besaran (harga disyorkan pengeluar) diumumkan oleh pihak HLYM bagi versi yang lengkap dengan ABS.
Tetapi jangan terpedaya dengan harga yang diumumkan atau disyorkan pengeluar kerana kebiasannya, angka harga motosikal Yamaha akan berubah dengan drastik apabila ia tiba di cawangan pengedar.
Baik beli atau abaikan?
Mudah untuk menyatakanyang Yamaha Y16ZR dan penambahan ABS memang membuatkan ia kembali berada di kelas tersendiri - terutama jika dilihat dari sudut populariti.
Untuk yang berkemampuan atau mempunyai keperluan untuk mendapatkan sebuah 'kapcai' super yang hebat dan memiliki ciri keselamatan dipertingkat, Yamaha Y16ZR ABS boleh dikatakan antara pilihan teratas oleh anda.
Apa tidaknya, jika harganya yang menjadi 'gila' apabila tiba di bilik pameran, ia sudah pasti berada di garaj penulis ketika ini (Menaip dengan raut wajah kecewa).