RK Takasago Chain-Malaysia Lancar Kit Rantai Bercahaya 'Yakon Series', Bermula RM 180!

Sesuai dengan namanya 'Yakon' yang diambil daripada terjemahan bahasa Jepun yang membawa maksud 'semangat pada waktu malam' atau spirit of the night, set RK Yakon Series ini didatangkan dengan tiga komponen utama merangkumi sproket depan, sproket belakang serta rantai

TERKINI

10/10/20261 min read

SYARIKAT pembikin rantai motosikal terkemuka, RK Takasago Chain-Malaysia mencipta kelainan dalam pasaran aksesori motosikal tempatan apabila melancarkan siri set rantai terbaharu, RK Yakon Chain Series yang memiliki keunikan mampu mengeluarkan cahaya.

Diperkenalkan secara rasmi bersempena saingan Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar LYL Sungai Long, set produk berprestasi tinggi ini buat permulaan ditawarkan dalam kuantiti terhad iaitu hanya 450 set.

Kuantiti terhad itu didorong oleh proses pembuatannya yang rumit bagi mengekalkan piawaian kualiti tinggi, dengan setiap satu unit set rantai berkenaan memerlukan masa sehingga 3 bulan untuk dihasilkan.

Sesuai dengan namanya 'Yakon' yang diambil daripada terjemahan bahasa Jepun yang membawa maksud 'semangat pada waktu malam' atau spirit of the night, set RK Yakon ini didatangkan dengan tiga komponen utama merangkumi sproket depan, sproket belakang serta seutas rantai.

Dan keunikan utamanya terletak pada rantai dan sproket belakang yang mempunyai kesan bercahaya.

Keistimewaan siri ini terserlah apabila rantai yang pada asalnya berwarna emas akan berubah memancarkan cahaya hijau fluoresen apabila disuluh dengan lampu ultraungu (UV). Sproket belakang yang mempunyai salutan material sama turut memancarkan cahaya merah fluoresen berbentuk lingkaran nipis.

Dari segi teknikal, siri RK Yakon ditawarkan dalam dua pilihan spesifikasi iaitu saiz 415 yang memfokuskan kepada prestasi, manakala saiz 428 lebih menjurus kepada tunggangan gaya sport.

Menariknya, kedua-dua varian ini dilengkapi dengan teknologi rantai jenis RX-ring, menjadikannya produk pertama yang ditawarkan oleh RK Takasago Chain-Malaysia khusus untuk pasaran motosikal moped atau kapcai.

Setakat ini, set RK Yakon Series ini kini boleh dibeli secara terus menerusi platform e-dagang Shopee. Dan sebagai tawaran pengenalan, 100 pembeli terawal akan menerima alat suluh UV bernilai RM 59 secara percuma.

Set ini ditawarkan untuk beberapa model motosikal popular di pasaran. Bagi model Yamaha Y15ZR, Honda RS150R dan Modenas Z15GT, varian saiz 415 dijual pada harga RM 200 manakala varian 428 berharga RM 180.