RM 20.45 Bilion Harga Nak Beli MotoGP - Laporan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/6/20241 min read

PEMILIK MotoGP, Dorna didakwa meletakkan harga £ 3.4 bilion (RM 20.45 bilion) sebagai syarat untuk membeli hak penganjuran perlumbaan dua roda berprestij MotoGP, lapor Sky News.

Firma ekuiti persendirian, Bridgepoint, yang juga pemegang saham terbesar di Dorna dilaporkan sedang mengadakan perbincangan mengenai penjualan itu dengan pemilik Formula 1, Liberty Media.

Menurut laporan itu, Bridgepoint mengharapkan jualan itu dapat dilakukan dalam masa 'beberapa minggu' namun tiada tempoh masa ditetapkan.

Selain Liberty Media, beberapa entiti lain turut berminat dengan perkara berkenaan dengan harga jualannya juga dikatakan berpotensi meningkat.

Bridgepoint ketika ini menguasai 40 peratus Dorna. Dan sebahagian kecil lagi saham dimiliki Lembaga Pelaburan Pelan Pencen Kanada (CPPIB).

Selain itu, pengurusan Dorna, termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Carmelo Ezpeleta turut memiliki saham.

Bridgepoint membeli MotoGP daripada CVC Capital Partners pada 2006 selepas syarikat itu membeli Formula 1 yang kemudian dijual kepada Liberty Media pada 2017.

Sebelum ini, Ezpeleta dalam satu laporan tidak menafikan yang MotoGP sememangnya boleh dijual sejak ia ditubuhkan.

Kempen MotoGP 2024 dijadual membuka tirainya di Qatar apda hujung minggu ini.