RM 440 Juta Pun Tak Dapat Pikat Marc Marquez!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/19/20251 min read


MARC Marquez dilaporkan menolak tawaran berstatus mega, AS100 juta (RM 440 juta) daripada Honda dalam cubaan pengeluar Jepun itu untuk mengekalkan juara dunia lapan kali itu.
Selepas menandatangani kontrak baharu pada 2022, Marquez menjadi pelumba dengan gaji tertinggi di MotoGP.
Tetapi berikutan jentera Honda yang tidak kompetitif, yang menyaksikannya berdepan banyak kemalangan dan siri kecederaan, Marquez bertindak untuk menamatkan kontrak itu lebih awal dan menyertai Gresini Ducati.
Begitupun, Honda dikatakan membuat cubaan terakhir untuk mengekalkan pelumba bintang Sepanyol itu menggunakan duit.
Memetik laporan AS, Marquez ditawarkan kontrak baharu selama 4 tahun dengan nilai AS 25 juta (RM 110 juta) setahun tetapi ia ditolak dalam usahanya menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini.
Dan tindakan Marquez itu tampak berbaloi apabila selepas setahun di Gresini, dia akhirnya menyertai pasukan 'kilang' Ducati Lenovo pada musim 2025.
"Kadang kala kamu boleh melepaskan duit. Ya, saya tahu, tetapi bagi seseorang yang mahu menang, duit bukan masalah," kata bos Ducati Corse, Gigi Dall'Igna yang mengakui angka AS100 juta (RM 440 juta) sebagai amat besar.
"Jika kamu mahu menang, kami perlu melepaskan begitu banyak perkara dan kadang kala kamu turut melupakan duit."
Ketika ini, pelumba yang memiliki kontrak paling tinggi di MotoGP adalah pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo dengan kontrak dikatakan berjumlah € 12 juta (RM 60 juta) semusim.
