RMCAF 2024 Nobat 5 Juara Dari 5 Negara Berbeza, Tiada Dari Malaysia
SUKAN PERMOTORAN 4 RODA
2/1/20241 min read
EDISI kedua perlumbaan Rotax Max Challenge Asia Festival (RMCAF) 2024 yang berlangsung di Litar Go-Kart Antarabangsa Sepang menyaksikan lima juara dinobatkan daripada lima negara berbeza namun sedikit mengecewakan tiada daripada Malaysia.
Apa yang menarik, kelima-lima pemenang dalam setiap kategori - Micro MAX, Mini MAX, Junior MAX, Senior MAX dan DD2 Max memperoleh tiket untuk beraksi di RMC Grand Finals yang dijadual berlangsung di Sarno, Itali, Oktober depan.
Dalam kelas DD2 Max, perlumbaan dimenangi oleh pelumba Brazil, Fernando Guzzi dari pasukan DRM Racing.
Pelumba Jepun, Shun Sekiguchi dari pasukan EMATY Racing memenangi kelas Junior Max dan Micro Mac dimenangi pelumba Thailand, Patthapol Kaewkanjanasat.
Pelumba Indonesia, Prassetyo Hardja dalam pada itu menjuarai kelas Senior Max manakala dalam kelas Mini Max, ia menjadi milik pelumba Hong Kong, John Han dari pasukan KP BUZZ.
Harapan yang diletakkan kepada wakil negara, Katrina Ee yang beraksi dalam kelas Junior Max tidak kesampaian apabila dia sekadar menamatkan aksi di tangga kedua keseluruhan.
Secara keseluruhan, seramai 161 pelumba dari 18 buah negara beraksi untuk RMCAF 2024 yang dianjurkan oleh promoter, Amprex Racing Services.
Untuk aksi RMC Finals di Sarno, Itali yang dijadual pada Oktober, ia menawarkan hadiah wang terkumpul bernilai RM 400 ribu.