RNF Racing MotoGP Dalam Masalah, Datuk Razlan Beri Bayangan Pilu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/25/20232 min read
KHABAR angin membabitkan pasukan MotoGP yang 'rapat' dengan Malaysia, RNF Racing sedang bertiup kencang ketika ini dengan beberapa media antarabangsa melaporkan pasukan satelit Aprilia itu berkemungkinan menarik diri daripada kempen elit itu musim depan.
Memetik laporan The Race, Dorna ketika ini sedang mencari pengganti di grid MotoGP 2024 seandainya RNF Racing tak berjaya memperoleh dana yang diperlukan untuk menjalankan operasinya musim depan.
Dan ia dikuatkan dengan hantaran Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali di laman sosialnya yang seperti memberi bayangan mengenai masa depannya sejurus perlumbaan penutup tirai MotoGP 2023 di Valencia berakhir.
Kepada yang tak tahu, RNF Racing adalah pasukan yang ditubuhkan daripada 'pepecahan' pasukan Petronas SRT susulan penarikan penajaan Petronas pada penghujung 2021.
Kekal bersama Yamaha pada musim 2022 dan menggunakan nama RNF Racing, pasukan itu kemudian beralih kepada jentera Aprilia pada 2023.
Berikutan masalah kewangan, Razlan menurut The Race menjual pegangan pemilikannya kepada firma IT Romania, CryptoData musim ini yang akhirnya tiba bukan sekadar penaja, namun pemilik bersama.
Antara penyebab utama situasi itu berlaku adalah disebabkan penarikan penaja utama sebelum ini iaitu firma tenaga Itali, WithU.
Sekalipun dengan kehadiran CryptoData, situasi membabitkan kewangan pasukan itu tidak berubah dengan pasukan itu turut bergelut dengan prestasi dan kini dipercayai terlepas beberapa bayaran kepada rangkaian pembekalnya.
Dan terbaharu, media turut mendakwa situasi dalam pasukan itu menjadi lebih buruk susulan ketidaksefahaman Razlan dan bos CryptoData, Ovidiu Toma.
Sekalipun masa depan membabitkan RNF masih dalam status spekulasi, tiada kebimbangan membabitkan posisi Aprilia dalam grid MotoGP musim depan.
Ini kerana pelumba pasukan itu, Miguel Oliveira dan Raul Fernandez, jentera dan staf teknikal memiliki kontrak terus bersama pengeluar Itali itu dan bukannya RNF.
Dilaporkan, Dorna ketika ini sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak sebagai pengganti kepada RNF Racing di grid MotoGP 2024 dengan Pengarah Sukan Dorna, Carlos Ezpeleta seperti mengesahkan masalah yang berlaku kepada RNF, lapor The Race.
"Ia sentiasa menjadi kebimbangan," kata Ezpeleta ketika ditanya mengenai kestabilan pasukan-pasukan di MotoGP.
"Bukan secara spesifik kepada RNF, tetapo kepada mana-mana pasukan. IRTA, dengan sokongan Dorna, sudah tentu sentiasa amat menitikberatkan segala-galanya termasuk imej dan pembayaran.
"Saya tidak boleh mendedahkan banyak perkara, sudah tentu, tetapi ia adalah salah satu masalah dan kami sedang menilainya."
Salah satu pelan yang dirancang adalah pelaburan daripada pelabur dari Amerika Syarikat yang membabitkan bekas pengarah perlumbaan Triumph, Jeremy Appleton.