ROMBAKAN Kalendar MotoGP 2026, GP Qatar Tangguh Ke November
Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) melakukan rombakan besar-besaran terhadap kalendar perlumbaan musim 2026 susulan keputusan menangguhkan Grand Prix (GP) Qatar berikutan situasi ketegangan geopolitik yang sedang memuncak di Timur Tengah
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/15/20262 min read


SEPERTI dijangka, Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) melakukan rombakan besar-besaran terhadap kalendar perlumbaan musim 2026 susulan keputusan menangguhkan Grand Prix (GP) Qatar berikutan situasi ketegangan geopolitik yang sedang memuncak di Timur Tengah.
Walaupun jumlah keseluruhan perlumbaan kekal sebanyak 22 pusingan, keputusan mengalihkan GP Qatar ke tarikh baharu pada 6 hingga 8 November depan mencetuskan impak berantai, sekali gus memaksa penganjur meminda tarikh dua perlumbaan penutup tirai di Eropah.
Penjadualan semula itu bakal menyaksikan saingan hujung musim yang cukup padat apabila GP Qatar kini membentuk siri jelajah tiga pusingan berturut-turut (triple header), bergandingan dengan GP Australia (Phillip Island) dan GP Malaysia (Sepang).
Pada asalnya, GP Portugal di Portimao dijadualkan berlangsung pada 13 hingga 15 November, diekori rapat oleh pusingan kemuncak di Valencia, Sepanyol, pada minggu berikutnya.
Biarpun tiada pertindihan tarikh secara langsung dengan tarikh baharu Qatar, namun mengekalkan jadual asal bermakna barisan pelumba dan pasukan terpaksa mengharungi situasi yang disifatkan mustahil iaitu bersaing dalam lima perlumbaan Grand Prix selama lima minggu berturut-turut pada penghujung musim.
Justeru, tarikh 13 hingga 15 November kini dikosongkan dengan GP Portugal dianjakkan ke tarikh asal pusingan Valencia, iaitu pada 20 hingga 22 November.
Susulan itu, pusingan kemuncak yang menjadi penentu kejuaraan di Valencia kini secara rasminya ditetapkan pada 27 hingga 29 November.
Sesi Ujian Valencia pada Disember?
Perubahan tarikh kemuncak di Valencia turut menimbulkan persoalan mengenai sesi ujian rasmi pasca-musim yang kebiasaannya diadakan pada hari Selasa selepas perlumbaan tamat.
Berdasarkan jadual baharu, ujian penting itu dijangka berlangsung pada 1 Disember. Perkembangan ini mengundang kebimbangan banyak pihak, terutamanya mengenai faktor suhu cuaca musim sejuk yang dijangka terlalu sejuk untuk cengkaman tayar di litar Eropah.
Secara teknikalnya, tarikh 1 Disember sudah memasuki tempoh 'Larangan Ujian Musim Sejuk' yang berkuat kuasa hingga 31 Januari, namun pengecualian khas dijangka akan diberikan oleh pihak penganjur.
Sesi ujian di Valencia tahun ini disifatkan amat signifikan kerana ia menjadi medan utama buat pengeluar menguji dan membangunkan jentera generasi baharu 850 cc dan penggunaan tayar Pirelli menjelang era baharu 2027.
Ia juga bakal menjadi platform pertama buat peminat untuk melihat barisan pelumba baharu bersama jentera masing-masing, memandangkan pasaran pelumba kini hangat memperkatakan mengenai pertukaran pasukan membabitkan nama besar seperti Pedro Acosta, Francesco Bagnaia, dan Fabio Quartararo.

