'ROSSI Akan Guna Apa Saja Bantu Pecco'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/29/20241 min read

VALENTINO Rossi dikatakan akan menghulurkan bantuan penuh kepada Francesco Bagnaia dalam 'pertarungan' dengan bakal rakan sepasukannya di Ducati Lenovo musim depan, Marc Marquez.

Begitupun, kenyataan Rossi itu diperoleh daripada kata-kata bekas pelumba MotoGP, Alex Barros yang sempat menemui juara dunia sembilan kali itu di Kejuaraan Enduran Dunia di Sao Paulo baru-baru ini, memetik laporan Motosan.

Seperti diketahui, hubungan antara Rossi dan Marquez sentiasa tegang dan ia berlarutan selepas legenda MotoGP Itali itu menggantung sut lumbanya di MotoGP.

Terbaharu, Rossi mengeluarkan komen tidak memahami dengan tindakan Ducati Corse memilih Marquez dan menyingkitkan Jorge Martin kepada L'Equipe.

"Valentino mempunyai idea yang jelas dan memberitahu saya yang dia akan membantu Pecco dalam setiap cara yang boleh," kata Barros.

"Ia akan menjadi tahun yang sukar, tetapi sudah pasti tempoh lama Bagnaia di Ducati, dua gelaran dunia MotoGP dan satu lagi dalam perjalanan, selain daripada pembangunan Desmosedici, akan tetap memainkan peranan.

"Tetapi kehadiran pelumba yang berkemampuan untuk mengubah keseimbangan akan mengubah perkara ini sepanjang musim."

Mengulas lanjut, Barros percaya Bagnaia dan Marquez tidak berkawan disebalik menyatakan mereka mempunyai hubungan yang baik kepada umum.

Dan katanya, pergeseran membabitkan kedua-dua pelumba bintang itu dalam kem Ducati Lenovo akan membantu pencabar Ducati di MotoGP.

"Bagnaia adalah pelumba Akademi (VR46) dan dia tahu pandangan Rossi mengenai Marquez, kerana segala yang berlaku di antara mereka," kata Barros.

"Jadi sekalipun dia tidak menunjukkannya, mereka bukan kawan. Jika tahun depan Marc, yang baru tiba dapat melakukan perubahan dan mungkin sudah seawal musim sejuk, akan ada banyak kontroversi dan perseteruan tahap tinggi.

"Menguruskan dua pelumba seperti itu amat rumit. Di mata orang awam ia nampak seperti tiada apa-apa, tetapi secara dalaman ia sukar.

"Sekiranya mereka mula bergeser antara satu sama lain atau jatuh, Aprilia dan KTM (boleh mengambil peluang) jika mereka dilengkapi dengan jentera yang bagus."