ROYAL Enfield Bullet 350 (2023) Debut Di India, 3 Varian, Harga Mula RM 9.7k!

TERKINI

9/2/20231 min read

ROYAL Enfield terus mengembangkan penawarannya dengan melancarkan generasi terbaharu model yang boleh dianggap tertua masih diproduksi, Royal Enfield Bullet 350 (2023) di pasaran India.

Sebagai model generasi terbaharu, Royal Enfield Bullet 350 (2023) mendapat perubahan dari sudut estetika atau rekaan serta mekanikal.

Dilancarkan di Chennai, India, tiga varian diumumkan iaitu Military, Standard dan Black Gold.

Pilihan harga dan warna adalah seperti berikut:

Royal Enfield Bullet 350 (2023) Military:

  • Warna: Black, Red (Tiada jalur, ekzos warna 'Chrome').

  • Harga: ₹ 173,562 (RM 9,750)

Royal Enfield Bullet 350 (2023) Standard:

  • Warna: Maroon, Black (Jalur emas, ekzos warna 'Chrome').

  • Harga: ₹ 197,436 (RM 11,092)

Royal Enfield Bullet 350 (2023) Black Gold:

  • Warna: Black Gold (Jalur emas, enjin, ekzos warna hitam).

  • Harga: ₹ 215,801 (RM 12,124)

Dari sudut mekanikal, Royal Enfield Bullet 350 (2023) menggunakan trenkuasa yang hampir sama seperti Royal Enfield Classic 350 atau Hunter 350.

Menggunakan kerangka 'dual-cradle', ia dijana enjin bersesaran 349 cc, 1 Silinder, Penyejuk Minyak/Udara yang digandingkan dengan transmisi 5 kelajuan klac manual.

Kuasa dihasilkan adalah sekitar 20 Hp pada 6,100 rpm dan tork 27 Nm pada 4,000 rpm.

Untuk varian Military dan Standard, brek belakang menggunakan dram manakala varian teratas datang dengan brek cakera depan belakang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Set roda menggunakan rim bersaiz 19 inci (depan) dan 18 inci (belakang) jenis jejari klasik. Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik 41 mm (depan) dan penyerap hentak berkembar (belakang).

Antara ciri-ciri moden yang dipadankan termasuklah port pengecas USB, panel meter gabungan analog dan digital LCD. Informasi lain termasuklah tangki bahan api 13 liter serta ergonomik pelana yang didakwa dipertingkatkan.

Tiada sebarang maklumat mengenai kehadiran Royal Enfield Bullet 350 (2023) di pasaran tempatan setakat ini tetapi melihat tahap 'aktif' Royal Enfield Malaysia ketika ini, ia mungkin dalam perancangan.