ROYAL Enfield Bullet 350 (2024) Dijadual Lancar Di Malaysia Minggu Ini, Unit Terhad?

TERKINI

4/23/20241 min read

ROYAL Enfield Malaysia bakal meningkatkan senarai penawaran dalam katalognya menerusi kehadiran model ikonik Royal Enfield Bullet 350 (2024) yang dijadual dilancarkan pada minggu ini.

Perkembangan berkenaan sebenarnya bukan rahsia kerana pihak Royal Enfield Malaysia sudah pun membuat pengumuman mengenainya di laman sosial rasmi mereka sejak beberapa minggu lalu.

Malah jemputan untuk pihak media untuk majlis pelancarannya juga sudah pun diedarkan.

Tetapi apa yang tidak diketahui adalah membabitkan harga yang bakal diumumkan serta unit yang tersedia di pasaran.

Sebagai perbandingan, harga yang diumumkan untuk model ikonik berkenaan oleh pengimportnya di Indonesia adalah Rp 115.1 juta (RM 35,168) dan lebih eksklusif, ia ditawarkan dalam jumlah cukup terhad 100 unit.

Jadi timbul tanda tanya adalah perkembangan sama akan berlaku di pasaran Malaysia dan berdasarkan sumber yang diperoleh, perkara sama berkemungkinan besar boleh berlaku.

Mengulas ringkas mengenai Royal Enfield Bullet 350 (2024), model yang membuat debut global pada tahun lalu dan mengambil nama ikonik Bullet ini diberikan perubahan besar-besaran yang bukan saja membabitkan rekaan, malah naik taraf dari sudut teknologi.

Di bahagian trenkuasa, Royal Enfield Bullet 350 (2024) dipadankan dengan enjin yang sama dengan model Royal Enfield Classic 350 atau Hunter 350.

Dipadankan dengan kerangka jenis 'dual-cradle', ia dijana enjin bersesaran 349 cc, 1 Silinder, Penyejuk Minyak/Udara yang digandingkan dengan transmisi 5 kelajuan klac manual.

Kuasa dihasilkan adalah 20 Hp pada 6,100 rpm dan tork 27 Nm pada 4,000 rpm.

Tiba dengan dua varian di pasaran India, hanya varian tertinggi Royal Enfield Bullet 350 (2024) dijual di Indonesia iaitu kedua-dua brek depan belakang menggunakan cakera lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Antara ciri-ciri moden yang dipadankan termasuklah port pengecas USB, panel meter gabungan analog dan digital LCD. Informasi lain termasuklah tangki bahan api 13 liter serta ergonomik pelana yang didakwa dipertingkatkan.