ROYAL Enfield Bullet 350 (2024) 'Meri Jaan' Kini Di Malaysia, 2 Varian, Mula RM 23.5k
PELANCARAN
4/26/20241 min read
ROYAL Enfield Malaysia, hari ini melancarkan salah satu model yang dianggap paling ikonik jenama itu, Royal Enfield Bullet 350 (2024) di pasaran tempatan bersama harga pengenalan yang cukup menarik.
Dua pilihan varian ditawarkan untuk Royal Enfield Bullet 350 (2024) yang turut terkenal dengan gelaran 'Meri Jaan' itu iaitu Standard dan Black Gold.
Pilihan warna dan harga adalah seperti berikut:
Royal Enfield Bullet 350 (2024) Standard
Pilihan warna: Standard Black, Standard Maroon
Harga: RM 23,500
Royal Enfield Bullet 350 (2024) Black Gold
Pilihan warna: Black Gold
Harga: RM 23,900
Seperti biasa, harga yang diumumkan adalah asas dan tidak termasuk bayaran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Mengulas spesifikasi trenkuasa, Royal Enfield Bullet (2024) dipadankan dengan enjin yang sama dengan model Royal Enfield Classic 350 atau Hunter 350.
Menggunakan kerangka 'dual-cradle' serba baharu, ia dijana enjin bersesaran 349 cc, 1 Silinder, Penyejuk Minyak/Udara yang digandingkan dengan transmisi 5 kelajuan klac manual.
Kuasa dihasilkan adalah 20 Hp pada 6,100 rpm dan tork 27 Nm pada 4,000 rpm.
Tidak seperti pasaran India, Royal Enfield Bullet 350 (2024) di Malaysia adalah varian tertinggi yang menyaksikan kedua-dua brek depan belakang menggunakan cakera lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Di bahagian roda, ia menggunakan rim bersaiz 19 inci (depan) dan 18 inci (belakang) jenis jejari klasik. Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik 41 mm (depan) dan penyerap hentak berkembar (belakang).
Antara ciri-ciri moden yang dipadankan termasuklah port pengecas USB, panel meter gabungan analog dan digital LCD. Informasi lain termasuklah tangki bahan api 13 liter serta ergonomik pelana yang didakwa dipertingkatkan.
Royal Enfield Malaysia menyediakan jaminan selama 3 tahun (tanpa had perbatuan) selain tiga kali bantuan jalanan.
Kepada yang berminat, Royal Enfield Bullet 350 (2024) 'Meri Jaan' sudah pun boleh didapati di cawangan pengedar Royal Enfield seluruh Malaysia.