ROYAL Enfield Bullet 350 (2024) Muncul Di IIMS 2024, RM 35.1k, Unit Terhad!

TERKINI

2/18/20241 min read

ROYAL Enfield Indonesia memeriahkan 'pentas' acara Indonesia International Motor Show (IIMS) 2024 menerusi pelancaran model terbaharu jenama United Kingdom itu, Royal Enfield Bullet 350 (2024).

Sebagai model yang memiliki sejarah cukup panjang dan diminati penggemar motosikal bergaya klasik, hanya satu pilihan warna untuk Royal Enfield Bullet 350 (2024) iaitu Black Gold.

Dan harga yang diumumkan pula adalah Rp 115.1 juta (RM 35,168) dan lebih eksklusif, hanya 100 unit diperuntukkan di pasaran Indonesia.

Tiba sebagai model generasi terbaharu Bullet, Royal Enfield Bullet 350 (2024) membuat debutnya pada tahun lalu dan selain daripada perubahan rekaan, ia turut mengalami peningkatan dari sudut teknologi.

Di bahagian trenkuasa, Royal Enfield Bullet 350 (2024) dipadankan dengan enjin yang sama dengan model Royal Enfield Classic 350 atau Hunter 350.

Dengan kerangka 'dual-cradle', ia dijana enjin bersesaran 349 cc, 1 Silinder, Penyejuk Minyak/Udara yang digandingkan dengan transmisi 5 kelajuan klac manual.

Kuasa dihasilkan adalah 20 Hp pada 6,100 rpm dan tork 27 Nm pada 4,000 rpm.

Dan tidak seperti pasaran India yang memiliki dua varian, Royal Enfield Bullet 350 (2024) di Indonesia adalah varian tertinggi dengan kedua-dua brek depan belakang menggunakan cakera lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Set roda menggunakan rim bersaiz 19 inci (depan) dan 18 inci (belakang) jenis jejari klasik. Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik 41 mm (depan) dan penyerap hentak berkembar (belakang).

Antara ciri-ciri moden yang dipadankan termasuklah port pengecas USB, panel meter gabungan analog dan digital LCD. Informasi lain termasuklah tangki bahan api 13 liter serta ergonomik pelana yang didakwa dipertingkatkan.

Setakat ini, tiada sebarang informasi mengenai kehadiran Royal Enfield Bullet 350 (2024) di Malaysia setakat ini tetapi menurut jangkaan, ia tidak akan menunggu lama untuk membuat kemunculan.