ROYAL Enfield, CFMOTO Jalin Kerjasama Hasilkan Enjin Hibrid?
TERKINI
5/31/20251 min read


JENAMA motosikal terkemuka asal British yang kini milik India yang terkenal dengan model bergaya retro klasik, Royal Enfield ketika ini dikhabarkan sedang meneroka pasaran baharu.
Apa yang menarik, syarikat itu dilaporkan sedang mengadakan perbincangan yang serius dengan syarikat pengeluar motosikal gergasi China, CFMoto dalam penghasilan platform enjin baharu bersesaran 250 cc.
Dan menariknya, menurut laporan dari media di India yang berpandukan sumber daripada CFMoto, platform itu akan menggunakan nama kod 'V' dan apa lebih mengujakan, ia berkemungkinan menggunakan teknologi hibrid.
Pembangunan platform itu penting bagi Royal Enfield dalam perkembangan perniagaannya dengan enjin yang dihasilkan harus memenuhi piawaian emisi BSVI Fasa 2 serta Corporate Average Fuel Efficiency (CAFE) akan datang.
Seperti dinyatakan, kerjasama itu dikatakan bukan sekadar mengenai enjin baharu tetapi sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat itu.
Selain memiliki kecekapan bahan api, ia juga digunakan untik menarik pembeli dalam segmen premium permulaan selain membina asas bagi motosikal hibrid di masa depan.
Menurut laporan berkenaan, harga jualan yang akan dikenakan juga kekal menarik iaitu sekitar Rs 1.25 lakh (RM 6,200) - 1.35 lakh (RM 6,800) sekali gus lebih murah berbanding daripada Hunter 350.
Dan ia menyasarkan pembeli pertama dalam kategori premium termasuk pengguna yang beralih daripada motosikal 100-150 cc. Antara ciri yang dijangka termasuk ABS, lampu LED dan instrumen digital.
Sekalipun teknologi enjin berasal daripada CFMoto, Royal Enfield dikatakan tetap mengekalkan identitinya dengan penggunaan kerangka, suspensi dan reka bentuk yang dibangunkan sendiri.
Selain enjin 250 cc, syarikat itu sedang merangka beberapa inisiatif baharu termasuk platform enjin terbaharu bersesaran 750 cc, 2 Silinder dan motosikal elektrik.
Platform 250cc memainkan peranan penting dalam sasaran jangka panjang Royal Enfield untuk meningkatkan jualan tahunan daripada 1 juta kepada 2 juta unit menjelang 2030.
Keputusan akhir mengenai perjanjian CFMoto dijangka pada separuh pertama tahun fiskal 2026. Jika dimeterai, ia akan memberikan Royal Enfield kepada platform enjin yang lebih kos efektif, patuh piawaian dan fleksibel untuk perkembangan masa depan.
