ROYAL Enfield Guerrilla 450 (2024) Buat Kemunculan Global Di Eropah, RM 27k!
TERKINI
7/17/20241 min read


ROYAL Enfield melancarkan penawaran terbaharunya Enfield Guerrilla 450 (2024), hari ini sekaligus menjadi model kedua dipadankan dengan trenkuasa 450 'Sherpa' yang turut dikongsi Royal Enfield Himalayan 450.
Seperti namanya yang agak 'ganas', Royal Enfield Guerrilla 450 diposisikan dalam segmen 'Naked roadster' dengan gaya gabungan retro klasik dan moden.
Tiga pilihan varian diperkenalkan iaitu Flash, Dash dan Analog.
Ketiga-tiga varian akan mengikuti tema Royal Enfield membabitkan skema warna dengan varian Flash ditawarkan dengan dua skema warna Brava Blue dan Yellow Ribbon, Dash (Gold Dip, Playa Back) dan Analog (Smoke Silver, Playa Black).
Dan seperti namanya Analog, varian itu akan dipadankan dengan panel meter gabungan analog dan digital LCD manakala dua varian teratas menggunakan panel meter digital TFT berwarna.
Tidak seperti Himalayan yang bergaya 'Adventure touring', Enfield Guerrilla 450 (2024) seperti dinyatakan lebih awal tampil dengan rekaan dan posisi tunggangan lebih agresif.
Dari sudut trenkuasa, ia dipadankan dengan enjin terbaharu yang boleh dikatakan cukup 'sedap' bersesaran 452 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan lengkap klac 'Assist & Slipper'.
Kuasa yang dijana adalah 40 Hp pada 8,000 rpm dan tork 40Nm pada 5,500 rpm.
Seperti Himalayan 450, Enfield Guerrilla 450 (2024) yang menggunakan kerangka besi tubular turut menggunakan sistem ‘Ride-by-wire’ dan memiliki mod tunggangan.
Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik knvensional 43 mm (depan) dan penyerap hentak tunggal daripada Showa dengan ciri pelarasan preload.
Pakej brek pula dijana cakera tunggal bersaiz 310 mm dengan kaliper dua piston (depan) dan cakera tunggal bersaiz 270 mm kaliper satu piston yang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Set roda pula adalah 120/70-17 (depan) dan 160/60-17 (belakang) dengan rim 'Sukan'. Informasi lain adalah seperti kapasiti tangki bahan api 11 liter, ketinggian pelana 780 mm dan berat 180 kg.
Di Eropah, Royal Enfield Guerilla 450 (2024) dijual pada harga yang cukup 'sedap' iaitu bermula 5,290 Euro (RM 26,965).
Berdasarkan maklumat, pihak Royal Enfield Malaysia tidak mahu menunggu lama untuk membawa masuk Royal Enfield Guerrilla 450 ke pasaran tempatan dengan jangkaan awal adalah pada penghujung 2024 atau awal 2025.












